Tuesday, October 26, 2010

Pesanan kepada Bangsaku...

Bangsa Melayu jangan begini,
Beriman di mulut, hati berlumut,
Beriman di lidah, hati menyalah,
Lidah bercabang, langkah menyilang,
Cakap melecoh, perangai tak senonoh,
Tamak harta mabuk dunia,
Dapat pangkat lupa akhirat,
Baru puji lupa diri.

Bangsa Melayu jangan begitu,
Ke tengah bertelingkah,
Ke tepi mendengki,
Ke laut menghasut,
Ke darat mengumpat,
Ke hulu menipu,
Ke hilir menyindir,
Ke atas mengampu,
Ke bawah melapah,
Ke gunung menyombong,
Ke lurah menitah.

Berkawan dengan syaitan,
Berguru pada nafsu,
Beraja pada selera,
Bersahabat pada maksiat,
Berlabuh pada tak senonoh,
Berhenti pada yang keji.

Bangsa Melayu jangan begitu,
Bergantung pada yang serong,
Berpijak pada yang merosak,
Bersarang pada yang ingkar,
Berumah pada yang salah,
Aniaya pada saudara,
Khianat pada sahabat,
Iri kepada isteri,
Muak ke orang banyak,
Derhaka pada orang tua,
Menghina pada yang muda
Mencerca sama sebaya,
Mungkir pada Tuhan,
Bekerja malas,
Memimpin culas,
Bersusah malu berpahit tak mahu,

Jadilah bangsa yang bersopan,
Jadilah yang berbudi tinggi,
Jadilah bangsa yang pentingkan kemuliaan,
Jadilah bangsa yang berhemah mulia,
Jadilah bangsa yang cintakan muafakat,
Jadilah bangsa yang sentiasa mahu berbakti,
Jadilah bangsa yang fikirkan cemerlang dunia dan akhirat,

Tuah ayam pada sisiknya,
Tuah manusia pada baiknya,
Tuah kain pada tenunannya,
Tuah kayu pada elok buatnya,
Tuah Melayu elok maruahnya.

Moga benar Melayu tak hilang di dunia.

3 comments:

  1. Replies
    1. Kulit pada kaki yang berwarna kuning dipanggil sisik.

      Delete
  2. ade la..kalu cakap taji mcm klise sgt..haha

    ReplyDelete