Wednesday, November 28, 2012

MAKNA SEBUAH PERJALANAN




Hari Graduasi atau Convo!!!
Ya, aku tahu hal ini sudah basi,
Sudah 2 bulan aku bergraduasi,
Tapi nak buat macam mana,
Sekarang baru ada masa,
Maka sama-samalah membaca ya.

Dari kecil lagi dah mengimpikan saat untuk bergraduasi,
Maklumlah, adik-beradik tak ramai,
So nak jugak memenuhkan dinding rumah tu dengan gambar convo yang berlatarbelakangkan rak buku itu,
Dulu tekad bukan main,
Hendak belajar sampai dapat PHD,
Tapi bila dah melalui zaman Degree,
Rasanya cukuplah sampai di sini (hehe).


Apa- apa pun,
Aku mahu berkongsi rasa betapa signifikannya skrol itu untuk aku,
Pada orang itu hanya plastik biasa,
Tapi aku punya makna yang lebih besar.

Skrol,
Inilah lambang setiap doa yang Mama dan Ayah aminkan untukku,
Inilah lambang penat lelah Mama dan Ayah membesarkan aku,
Inilah lambang getirnya Mama dan Ayah mencari wang untuk aku belajar,
Inilah lambang bernilainya wang yang dihantar setiap kali aku pinta,
Inilah lambang usaha aku sejak dari tadika,
Inilah lambang jatuh bangun aku dalam pelajaran,
Inilah lambang segala pengorbanan yang aku lakukan,
Inilah lambang suka duka, rajin malas, jujur mengelat,
Inilah lambang kebanggaan keluarga.

Aku sedar, aku bukan daripada keluarga berada,
Mama dan Ayah pun bukan lulusan universiti mana-mana,
Andai ini takdir untuk aku ubah nasib keluarga,
Amanah ini akan aku pikul bersama.

Tiada apa yang lebih bermakna selain melihat wajah Ayah dan Mama yang tersenyum puas pada hari graduasiku,
Wajah ceria Alongku,
Mungkin dalam hati mereka “Tahniah EE, kami bangga dengan EE”,
Moga aku menjalankan tanggungjawabku sepertimana yang mereka harapka,
Jujurnya, tatkala aku menunggu giliran untuk naik ke pentas,
Bertakung juga air mataku.

Terima kasih buat setiap insan yang membina makna rasa dan jiwa,
Terima kasih buat setiap doa dan juga jasa,
Andai sebesar gunung sekalipun harta,
Jasa kalian tak ternilai harganya.
Teruskan berdoa agar saya menjadi insan berguna.



Tunjang, Teras, Nadi, berikan apa saja gelaran buat mereka..

Perjalanan yang sempurna. Class of 2008-2012

Professor, Guru, Ibu.. Prof Madya Dr Siti Zaharah



Ketika susah senang, inilah wajah-wajah yang setia

Doa saya buat dia

IJAZAH SARJANA MUDA UNDANG-UNDANG UNIVERSITI MALAYA (KEPUJIAN)


Kisah Debat Saya....

Copy paste dari Majalah VOX 20111/2012


Saya cintakan debat. Pengalaman debat saya di Universiti Malaya bermula di Minggu Haluan Siswa dimana ketika itu saya mewakili pasukan debat Kolej Pertama untuk pertandingan debat di sepanjang minggu yang penuh “kegirangan” itu. Bertitik tolak dengan itu, saya telah menyertai Kelab Orator & Puisi Universiti Malaya untuk meneruskan minat dalam dunia perdebatan ini. Ketika menyertai kelab tersebut, saya dimaklumkan bahawa Universiti Malaya merupakan satu nama besar dalam dunia perdebatan peringkat IPT. Lantas, ia menjadi satu dorongan yang cukup mengujakan buat saya untuk terus mendalami ilmu perdebatan dan seterusnya meneruskan legasi Universiti Malaya dalam arena perdebatan.

                Ramai beranggapan, berada di sebuah universiti yang disegani sememangnya bertuah kerana tidak perlu untuk bersusah payah dalam mencapai kejayaan iaitu menjuarai pertandingan debat di peringkat nasional. Sememangnya sangkaan itu meleset sama sekali. Perjalanan karier debat saya tidak seindah yang disangka atau yang saya sendiri impikan. Masih segar dalam ingatan saya betapa jurulatih saya ketika itu, Azizul Hakim, menempelak saya dek persembahan saya ketika sesi latihan, yang baru sebulan saya sertai, “kau memang tak layak berdebat untuk UM. UM tak pernah ada pendebat sebodoh kau” . Bayangkan, di hadapan para senior dan rakan-rakan yang lain, saya ditengking dengan kata-kata sebegitu rupa. Hati mana yang tidak terguris dengan kata-kata itu, malah pernah hati kecil ini mendengus untuk berhenti dan berputus-asa dalam karier debat ini. Namun, kerana cintakan debat, dipujuk juga hati ini untuk menelan segala kata-kata cacian yang dilemparkan kepada saya. Pujuk hati ini, andai ini adalah provokasi, maka akan dijadian sebagai motivasi. Tambah memeritkan, apabila saya diletakkan dalam pasukan UM Muda 2, atau boleh dikatakan sebagai pasukan keempat UM untuk pertandingan Debat DiRaja pada tahun pertama saya ketika sahabat seperjuangan saya (sehingga kini), Firdaus Ahmad diletakkan dalam pasukan Muda Utama. Melengkapkan kisah kecewa di awal pembabitan saya dalam debat, saya bersama rakan-rakan pasukan tewas seawal pusingan awal pertandingan.

                Memandang ke hadapan bagi melupakan episod duka saya, saya menjadikan pertandingan seterusnya sebagai pengubat kekecewaan lama. Debat Terbuka Astar – medan terbaik untuk saya pulihkan semangat saya. Bersama Firdaus dan Munirah, kami tidak diberikan sebarang harapan untuk melangkah jauh dalam pertandingan ini. Namun, atas semangat untuk membuktikan betapa kami juga layak untuk mewakili Universiti Malaya dan seterusnya menjadi pelapis kepada pasukan senior, kami berjaya melangkah ke Separuh Akhir. Lebih manis lagi, saya dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Keseluruhan dalam pertandingan tersebut. Masih jelas dalam ingatan apabila para senior memberi “standing ovation” usai saya menghabiskan pergulungan di Separuh Akhir. Walaupun kecewa kerana tidak dapat menjuarai pertandingan tersebut, boleh saya katakan di situlah titik tolak karier debat saya berkembang di Universiti Malaya apabila bermula dari situ, saya diberi kepercayaan oleh senior dan jurulatih untuk diserapkan ke dalam pasukan senior Universiti Malaya. Menyertai Azri Zahier dan Shen Yee Aun dalam penampilan pertama saya di peringkat senior, saya mungkin dianggap sebagai penumpang dalam pasukan tersebut. Namun, apa yang lebih mengejutkan adalah apabila saya diberikan mandat yang cukup besar – penggulung- satu tanggungjawab yang cukup besar di dalam pasukan. Cukup terharu dengan kepercayaan ini, saya cuba melakukan sedaya mungkin dan Alhamdulillah, kami mendapat Naib Johan dalam Pertandingan Debat Perpaduan tersebut.

                Melihat kepada pencapaian saya dalam penampilan pertama di peringkat senior, mungkin ramai beranggapan bahawa karier debat saya sentiasa cerah selepas itu. Namun, perjalanan debat saya tidak menentu dan turun naik. Selepas Debat Perpaduan tersebut, bermula dari tahun 2009 hingga 2011, saya telah menyertai sebanyak 20 pertandingan, 3 terkandas di pusingan awal, 7 tumpas di suku akhir, 8 tersekat di separuh akhir dan 2 tewas di akhir. Setelah mengalami kekalahan demi kekalahan, kekecewaan demi kekecewaan, namakan apa sahaja pertandingan, Royal, Integriti, Gender, Perpaduan, IKIM, Keamanan, Alam Sekitar, semuanya telah saya sertai dan tiada satu pun saya mengucup piala kemenangan. Boleh dikatakan, ketika itu merupakan zaman kejatuhan UM dan jurulatih pun sanggup meninggalkan kami kerana bagi beliau, tiada apa lagi yang boleh dilakukan kepada kami. Ayat yang beliau lontarkan kepada kami “I dah tak tahu nak buat apa dah dengan you all. Maybe I tak pandai melatih atau you all yang memang tak reti berdebat”. Setahun kami bergerak sendirian tanpa sebarang panduan. Saya dan Firdauslah yang bersusah payah mencari ahli pasukan, merekrut junior yang janjinya taat setia tapi akhirnya keluar juga dek mengejar aktivti kolej yang saya sendiri tidak tahu signifikannya, mencari tempat latihan kerana kelab asal diubahsuai, tiada elaun, tiada kenderaan, semuanya ditanggung sendiri. Sehinggakan sampai satu tahap, saya dan Firdaus menyatakan hasrat untuk bersara dari karier debat kerana merasakan kami sudah tidak layak lagi mewakili UM dan sudah tiba masanya tempat kami diisi oleh muka baru. Namun, kami tekad, sebelum kami bersara, kami akan menghadiahkan sekurang-kurangnya satu kejuaraan kepada Universiti Malaya sebagai menunaikan janji kami ketika kami menyertai pasukan debat UM pada awal-awal dahulu.

                Tuhan itu semangnya pengatur yang Maha Bijaksana. Mungkin Dia lihat begitu banyak kejatuhan yang saya dan rakan-rakan alami, akhirnya pada Januari 2012, Dia kurniakan kami hadiah yang telah lama kami nantikan. Bersama Firdaus dan Keng Fhai, Dia berikan kejuaraan pertama saya dan Firdaus dalam karier debat kami, Johan Debat 1 Malaysia. Lebih manis, kami menjuarai pertandingan tersebut tanpa tewas walau satu perlawanan sekalipun sehingga diberikan jolokan “Pasukan Kebal” dan “Juara Mnunggu” oleh rakan-rakan pendebat yang lain. Tambah mengujakan, saya dianugerahkan Pendebat Terbaik dalam perlawanan akhir dengan disaksikan ahli keluarag tercinta yang hadir membuat kejutan pada malam tersebut. Seminggu kemudian, Dia berikan sesuatu yang lebih besar kepada saya baik sebagi individu dan juga sebagai pasukan. Sesuatu yang menjadi impian buat semua insan yang pernah bergelar pendebat. Anugerah Kecemerlangan Individu dan Johan Debat Di Raja yang boleh dianalogikan sebagai “FIFA World Best Player” dan “World Cup” dalam sukan bolasepak. Apa lagi hadiah paling bermakna untuk saya dan rakan-rakan melainkan kemenangan sebesar ini. Sesungguhnya, inilah hadiah yang paling manis buat saya dan boleh dianggap sebagai hadiah yang sempurna buat karier debat saya yang penuh dengan kisah suka duka. Sekalipun cuba mencari penamat yang sempurna pada DAS2012 di bumi sendiri, namun rezeki tidak berpihak pada saya dan rakan-rakan apabila tumpas di akhir.

Terima kasih tidak terhingga buat mereka yang melihat jatuh bangun saya dan tidak pernah berhenti memberi semangat dan doa kepada saya dan rakan-rakan. Terima kasih kepada yang terus percaya kepada kemampuan saya, yang sanggup hadir memberi sokongan kepada saya, yang tidak jemu memberi dorongan kepada saya dan yang senantiasa membantu saya serta juga yang bermuka-muka terhadap saya. Kemenangan ini untuk kita semua.

                Demikianlah, kisah debat saya buat tatapan semua. Siapa sangka, dari seorang yang dikatakan tidak layak berdebat untuk UM, hampir dibuang kelab kerana prestasi yang tidak menentu, dikatakan juga sebagai tiada harapan, dibiarkan pula berjalan sendirian, saya kini menjadi Presiden kepada sebuah kelab yang banyak mengguris hati saya suatu ketika dahulu. Saya jadikan ia sebagai panduan terbaik saya sehingga saya mengecapi kejayaan yang saya ada ketika ini. Benar, tiada yang istimewa dalam perjalanan saya. Saya bermula dari bawah, tiada jalan pintas, dan kejayaan hadir ketika saya di penghujung karier. Syukur kerana saya diberi peluang untuk merasainya setelah kejatuhan yang saya alami. Moga ia menjadi pedoman dan pemangkin buat para pembaca. Mengenai kisah seorang insan biasa yang melalui pengalaman biasa dalam mencapai kejayaan luar biasa. 



My Batchmate - UMLawFac 2008-2012

Apakah LawFac di mata kami?
Apakah detik yang paling kami rindu?
Pesanan buat pensyarah, junior dan sahabat.
INI KISAH KAMI..




Tuesday, November 27, 2012

Coretan di Sekolah Undang-Undang 2008-2012

4 TAHUN, Sekali tengok tempohnya lama, Apatah jika dilihat bilangan harinya,
Tapi bila rasa taklah lama mana,
Apatah jika banyak rencah dan rasanya.

Ayuh aku bicara soal kisah lama,
Kisah yang taklah menarik mana,
Maklumlah aku bukan insan istimewa,
Tiada harta apatah lagi rupa,
Tiada kedudukan , anak orang kebiasaan,
Kisah hidupku di sekolah perundangan,
Buat kenangan sendiri, buat pedoman untuk yang mengerti.

TAHUN PERTAMA,
Melangkah masuk ke alam baru,
Ada rasa teruja dalam hatiku,
Maklumlah semuanya perkara baru,
 Kita pun bajet nak belajar setiap waktu,
Hakikatnya Tahun Pertama agak mudah,
Sisi perjalanan juga dihiasi kisah-kisah indah,
Sahabat lama masih ada, sahabat baru pun tiba,
Senior pun boleh tahan poyonya, senyum satu kewajiban, ingkar hukumannya makian,
Tapi poyo-poyo pun aku dapat juga seorang Buddy, Aqasha, orangnya nerdy,
Paling penting tahun ini juga aku mengikat cinta hati secara rasmi, Hati berbunga macam nak mati, Persekitaran pula berlainan bangsa, Punya sisi cabaran yang berbeza,
Maklumlah dari sekolah menengah hingga peringkat asasi, Aku membesar dengan aliran satu bangsa satu komuniti, Sudah pasti semangat juang dan pergaulan aku juga berbeza,
Ya, aku produk asasi, produk yang dibenci di bumi ini,
Katanya berlagak, angkuh dan bongkak,
Ilmu seciput canangnya seganang,
Kononnya berlagak kerna sudah tahu asasnya, Akhirnya yang terkulai layu wajah-wajah si asasi juga,
Tahun ini juga aku sudah faham sifat fakulti ini,
Dicanangnya terhebat semua perkara,
Dikatakan pelajar undang-undang perlu berani bersuara, tak kira usia, kerna ia hak untuk semua,
Tapi pilihanraya adalah bidasan aku yang paling utama, First Year betanding, mewakili pula Penggerak Mahasiswa, Amboi, marah para senior bukan main, kononnya pengkhianat, tidak telus dan tidak mengikut tradisi,
Ruang bersuara? Hahaha yang dihidangnya hanya sesi untuk memaki,
Hak untuk semua? Hahaha itu dogengan yang direka,
Kesuburan demokrasi? Hahahaha tidak kalau anda berparti,
Itulah sifatnya, yang aku berikrar, akan aku buang segala sampah dan kotoran ini,
Jadi berakhirlah Tahun Pertama.



TAHUN KEDUA,
Maknanya aku sudah senior, sudah punya junior,
Masuk junior aku agak ternanti-nanti,
Sebab untuk kesekian kalinya, inilah first time ada junior perempuan, Hahaha kesian tak?
Tapi bila dah masuk, rasanya biasa je pun,
So dapatlah seorang lagi Buddy, Hisyam Helmi, budak KL bajet best (haha),
Kawan-kawan pun masih sama, Yannick pun dah mula belajar makan kari,
Tapi tahun ni ada keperitan tercatat,
Kisah cinta temui pengakhiran, puncanya? Biarlah benda lama, itu semua ketentuan,
Sisi gembira, pergi jalan-jalan dengan geng CERPHOM,
Jalan-jalan makan angina kat kota bersejarah,
Rasa macam hidup ni kaya gila, maklumlah dapat JPA kaedahnya,
Then balik dari Melaka terus kena berlakon sketsa Mawar, pengarah projek, Chidacici,
Perihal akademik, kali ini flop melekat, Aku sangkut Paper Family, time tu rasa gelap je dunia,
Nak buat macam mana, salah sendiri, time exam pergi berak lamanya macam kat rumah goyang kaki,
Last2 tak sempat nak jawab habis, padan muka, pengajaran : Jangan Berak time exam!,
Oh lupa nak cerita pada tahun pertama,
Ada petandingan boling fakulti, jadi Johan bersama team MMT (Milk Military Tank a.k.a Kereta Kebal Daging), dengan Daus, Syak dan Sharow (time tu Yannick tanak kawan dengan aku lagi),
So untuk edisi kedua dan tahun kedua, misinya nak pertahankan kejuaraan,
Tapi dibackflip oleh Syak, Sharow dan Yannick, dibuangnya aku dan Daus,
Tapi ALLAH tu Maha Adil, biarpun berlainan team, aku dan Daus masih mampu mempertahankan kejuaraan (hahaha, mesti mengamuk kalau 3 ekor tu baca..blog aku kot, apadahal?),
Kemudian bertandinglah untuk pemilihan LawSoc,
Postnya adalah Timbalan Presiden,
Kalah margin besar lah jugak, hahaha, nak bertanding takdak strategi, konon-konon star macam Rooney, Isu Rumah Terbuka paling epik, semua dok tuding jari, takpalah, aku Pengarah, biar aku tanggung semua, Aku syukur, kawan-kawan tahu hal sebenar yang berlaku,
Aku hanya perlukan itu, sebab Allah juga Maha Tahu,
Penutup Tahun Kedua, kem Karisma, juga kisah Semerah Cinta Stilleto (ehem3).




TAHUN KETIGA 
Ini tahun dah rasa diva sikit kat fac tu, Maklumlah dah senior “menengah atas”, So? Who caresss aku nak buat apa kat fac tu,
Meskipun ada Final Year, tapi hormat tetap ada,
Aku sedar aku siapa, aku bukan junior yang tak reti bahasa,
Aku dibesarkan di sekolah asrama, punya adab yang akan terus aku jaga,
Tahun ini aku berlakon Mock Trial, first time masuk team, eh silap KELUARGA Mock Trial (ewww),
Ni semua sebab Adleena telah memujuk rayu dan melihat wajahnya yang persis Primadona agung,
Hati terus cair (gtewww, tunang orang oiii..hahaha) dan aku pun cakap “yelah2, aku berlakon!”,
Sekali waktu sesi pengenalan watak, terus diberi watak Hakim, mau tak menggelabah aku,
Tapi Alhamdulillah, aku rasa aku dah jalankan tugasan aku sebaiknya,
“Rival” aku adalah Aqeel Wonka, ada 5 show, aku menang 3-2 kategori “Watak Pilihan Harian”..hahaha, over kan?
Itulah kali pertama dan kali terakhir berlakon Mock Trial, sekurang-kurangnya dapat juga merasa berlakon Mock Trial,
Kemudian, tahun ini aku dapat juga buddy, nama dia Najjua Aras, mulut becok, Tuhan je tahu,
Aku pun baik dengan junior-junior First Year, Tuan Arief (sang setia aku, aku sayang kau!), Arai dan Syafiq, 3 junior duduk sebelah bilik aku,
Best sangat ada dorang, tolong ambil air, tolong angkat beg, paling best, nak tido pun dorang tolong tutup lampu sebab aku n Syak malas nak bangun pergi kat suis, n guess what? Dorang datang dari bilik sebelah tolong tutupkan. Baikkan? Hahaha,
Paling best time aku demam, Arai siap datang urutkan kepala, Tuan Arief urutkan kaki, nak menangis rasanya, AKU SAYANG KORANG!,
Time ni jugak kenal mamat poyo MCKK lulusan UK, Izham Ismail,
Gaya macho, perangai hancur, tapi idaman gadis (YOU-KNOW-WHO) seantero.
Hahaha, now, he is one of my best friend now, dah jadi YDP UM pun sekarang ni, good job bro,
Boling masih kekal sebagai johan, Futsal dapat nombor dua, mantap jugak la kan? Hahaha,
Dan ofcoz, kemenangan Sharow dalam Pilihanraya Kampus, satu kemenangan yang aku anggap sebagai satu “kebebasan” kat fakulti itu,
Projek Paper mana mungkin dilupa, buat seminggu sebelum dateline, sorotan literatur, footnote, rujukan, semua aku REKA! (jangan tiru aksi ini),
Malah sampai ke Senawang aku pergi, ini semua idea Aliaa Izuddin, pukul 3 pagi, semata-mata nak siapkan proposal Chapter 1, mampu?,
Pengalaman seterusnya adalah zaman attachment, Bersama Yannick, Sharow, Awin, Farina dan Adleena, IPD Sentul kami pergi menimba ilmu,
Sekali, datang pukul 10 am pun disuruh minum dahulu,
Memang tenang sungguh rasa hati, buat attachment di balai polis paling sempurna sekali,
Tapi bila buat kat AG, memang mengundang gila khinzir. Sekian, Tahun Ketiga.




TAHUN AKHIR 
Ya, inilah dia tahun yang paling ditunggu-tunggu,
Sejak aku melangkah pada tahun satu,
 Saat menjejak kaki ke fakulti sebagai FINAL YEAR memang aku rasa satu aura yang cukup best,
Pegang fakulti, eh silap, pegang fakulti undang-undang TERBAIK Malaysia,
Siapa tidak teruja, kini aku senior, akan aku buang sikap-sikap senior-senior terdahulu,
Pesan aku kepada diri sendiri dan rakan-rakan,
Usah dipaksa lagi suruh junior senyum bila lintas di hadapan kami,
Usah dikerah suruh junior tegur bila jumpa,
Kita buat cara kita, kita mula langkah pertama,
Biar mereka tegur, senyum, berjenaka kerana mereka suka, kerana mereka hormat,
Itu baru senior yang akan sentiasa diingat (wallahualam),
Fatin Nadhirah a.k.a Bebigurl, pelengkap set Buddy kami,
Baik orangnya, sekali adik member sendiri,
Tugasan pertama adalah menjadi penulis skrip Mock Trial di bawahan arahan buddy aku, Hisyam Hilmi,
Sampai orang kata ini punya mock adalah mock buddy sebab lawak-lawak kami susun, semuanya dituduh lame walaupun hakikatnya perform,
Kesian Amy (panggilan Hisyam), sebab aku selalu tangguh-tangguh nak hantar skrip, dia nak marah, aku buddy dia, hahahaha, dan hakikatnya, skrip tak siap pun sewaktu hari pemberian skrip dan pengenalan watak-watak,
Waktu itu juga aku reka ending tapi penipuan tetap ada gaya,
“ok, kalau korang perasan, skrip tu takde ending, sebab ada 3 cadangan ending and nak mintak korang decide” – padahal memang tak siap sepatah haram lagi pun,
But yes, nak jadi pelakon Mock Trial, dan pelajar undang-undang pulak, kenalah pandai propa..kan?
Alhamdulillah, Mock Trial berjalan dengan lancar, dan aku gembira dengan hasil kali ini,
Kemudian, buat persembahan dengan Izham waktu jamuan SEP,
Depan student Indonesia dan China,
Lagunya adalah Isabella dan apa entah satu lagi, memang awesome sebab benda tu tak dirancang, dan paling penting, persembahan yang mendapat sorakan cemerlang, hahahaha,
Tahun ini jugak aku banyak ponteng kelas, agak-agak bosan dan ngantuk dalam kelas,
Bila lecturer kata “take 5”, I make it “20” or “forever”, hahaha,
Awal-awal dulu, bila skip akan lepak surau bersama Yannick dan Syak,
Tapi disebabkan dua-dua ni takut bini, so hujung-hujung tu, aku berseorangan sahaja lah,
Tapi itupun ada orang dok rajin bising dan meleter, opsss..hehe,
Tahun ini siapa takkan lupa subjek Advocacy,
Group aku bernama LITIGO dianggotai oleh Rahim, Farina, Lyla, Adleena, Yasmin dan Myra,
Kalian memang sangat2 berdedikasi,
Research memang mantap, dan aku sangat bersalah sebab selalu buat main-main,
Acara sukan, aku dan daus mencipta rekod sebagai pemenang Boling fakulti selama 4 TAHUN berturut-turut dan sudah pasti aku boleh gah mengatakan untuk siapa-siapa yang menang boling fakulti tahun depan cukup bertuah, kerana aku sudah tiada, hahaha,
Tapi untuk futsal, kami terkandas di separuh akhir,
Bila bercakap pasal Final Year, paling dinanti adalah LawNite,
Kena menari Hindustan arahan Yasmin dan kena berlakon jadi Pak Maun, menari dengan Adleena, mujur this time beliau tidak backflip lagi,
Dan paling penting, buat pertama kalinya, aku menyewa pakaian iaitu full set TUXEDO,
Sebab kami para pria ingin merebut gelaran pakaian terbaik, tapi akhirnya hampa sebab seorang pun tak menang sebab tidak dipertandingkan – poikkkk!,
The best moment in final year, sudah semestinya waktu STUDY WEEK, sebab aku jadi KING of BLUE CORNER,
Tapi aku tidak berseorangan, Yannick, Sharow (wakil final year), Amy (Third year), Arai, Tuan Arief dan Syafiq (second year) pun turut serta,
Study kat situ, tidur pun kat situ,
Konon-konon study macam nak mati, padahal tengok EURO ramai-ramai sampai pagi,
Rindu sangat waktu ini,
Akhirnya, tatkala tamat waktu paper Civil Procedure, maka berakhirlah tugas aku sebagai pelajar undang-undang Universiti Malaya.






Maka ini sahaja coretan aku tentang perjalanan hidupku,
Mungkin ini juga entri terpanjang yang pernah aku nukilkan,
Kisah ini tidak akan berulang, tapi menjadi momen berharga buat aku kenangkan,
Sahabat, lawan, cinta, takdir, perasaan, semuanya aku rasa,
Segala genap jatuh bangun juga aku rasa,
Dan aku puas bila berada di fakulti ini sebagai seorang pelajar,
Insan paling penting buat aku di fakulti ini adalah Dr Siti,
Dialah ibu bagi aku, professor buat semua,
Leteran dan bebelan dia memang aku akan rindu,
Kedua, Datin Noraini, biarpun orang takut dengan beliau,
Tapi beliaulah yang memberikan aku nasihat cinta dan kehidupan,
Sayang kalian berdua even tak pernah dapat "i love you" from Datin.




Buat semua yang membaca, mohon maaf untuk segala "kenakalan" aku dan terima kasih kerana sudi menerima aku sebagai sebahagian dari kehidupan kalian,
Andai aku tidak dirindui sekalipun,
Moga aku memberi sesuatu yang berguna untuk kalian.
 Jujurnya, tiada sebarang kesalan di hati aku bila melangkah keluar dari fakulti ini,
Cuma satu-satunya impian aku yang tidak kesampaian adalah tidak dapat melihat Prof Azmi berambut pendek.

 Ini kisah aku, 4 tahun lamanya.
Yang elok, teladanilah, yang buruk, jadikan pedoman.
Terima kasih Ilahi buat semua pengalaman ini.


Kerajaan Tidak Bernama

Ada satu kisah, di sebuah kerajaan yang tidak bernama,
Ditadbir tanpa sebarang pengaruh mana-mana kuasa,
Rakyatlah ketua, Rakyatnya juga adalah raja,
Tiada seorang pun hamba, keadilan untuk semua.

 Ada satu kisah, kerajaan ini dirombak semula,
Pemilihan Sang Raja atas peninggalan yang lama,
Tidak dipilih tidak juga ditentang,
Maka naiklah takhta Raja dijulang.

 Ada satu kisah, Raja ini ditentang rakyat jelata,
Dituduh pengkhianat amanah warisan,
Dicerca menconteng arang ke muka kerajaan,
Dikritik tidak berkelayakan kerana tiada pemilihan.

 Ada satu kisah, Raja ini berseorangan,
Kesatrianya hilang tanpa dikesan,
Panglimanya melihat tanpa sebarang perasaan,
Raja ini dimalukan depan rakyat jelata,
Rakyat menuntut Raja turun takhta,
Sekalipun Raja belum mula mengeluarkan titah,
Dipaksa rakyat agar Raja ikut perintah.

 Raja tersentak, Jatuh gelaran tinggal nama Ketua,
Satu hukum kerajaan tidak bernama ini,
Ketua tugasnya bukan memimpin,
Bukan juga saranannya dipatuh,
Ketua hanya kuli dan hamba,
Rakyat meminta-minta, Ketua ikut sahaja,
Bunyinya agak pelik,
 Sebab prinsip pada nama yang didokong adalah keadilan,
Tiada hamba tiada abdi,
Rupa-rupanya “tuan” yang menjadi “hamba”.

 Ada satu kisah, Ketua ini punya maruah,
Ikrarnya untuk membuktikan semua salah,
Kepada Ilahi dia berserah,
Andai ini ujian-Nya dia pasrah.

 Demikianlah kisah sebuah kerajaan tidak bernama,
Menanti masa untuk binasa andai aturan ini kekal selamanya. Nauzubillah.