Saturday, December 26, 2009

HEBATnya 1 Malaysia



Dahulu,
Dato' Seri Najib merupakan Menteri Pertahanan,
Kini
Beliau diangkat sebagai Perdana Menteri,
Orang no 1 Malaysia,
Yang menggagaskan konsep 1 Malaysia,
Sebagai perkara no 1 yang diutamakan oleh pimpinan beliau.

1 Malaysia,
Dulu persaingan kini perkongsian,
Angka bergabung dengan perkataan,
Harapan membentuk sebuah perpaduan,
Menyatukan kepelbagaian dan perbezaan.

Hebatnya 1 Malaysia,
Kini dicanang di mana-mana,
Setiap perkara dipahat jenamanya,
Dari amanah saham hingga kereta lumba,
Tak ketinggalan juga facebook kegemaran orang kita.
Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan,
Katanya.

Bangganya ada 1 Malaysia,
Kini semua perkara asasnya 1 Malaysia,
Sebab itu bina masjid pun menjadi sengketa,
Al-Quran pun mereka dah pandai-pandai nak baca,
Orang kita pun senyum bila gambar anak bangsa dipijak,
Komunis durjana pun mereka ajak,
Bumiputera pun mereka nak jugak,
Maklumlah, semuanya 1 Malaysia.

Bangga lagi ada 1 Malaysia,
Sampai wakil kita lupa kerja,
Mujurlah lebih tiga,
Kalau tak turun takhta la jawabnya,
Maklumlah sibuk kejar harta dunia,
Barulah boleh berbini dua,
ssshhh.."maaf, nak jaga hati kerana ketika ini mungkin ada insan yang terluka",
Hebat politiknya, sama dengan suaminya,
Maklumlah, 1 Malaysia.

Apa-apa pun,
1 Malaysia memang hebat,
Semua orang akan ingat,
Ketika ini 1 Malaysia macam nak kiamat,
Mudah-mudahan kita tak terlambat.

Friday, December 25, 2009

Kota Bersejarah : Pengajaran dari Sejarah



Melaka,
Bumi bertuah,
Melaka,
Yang tercinta,
Kebanggaan rakyat sentosa.

Aku baru sahaja pulang bercuti dari Melaka,
Banyak juga ku pelajari darinya.

....................................................
Jangan jadi seperti Hang Tuah,
kesetiaanya tidak bertempat.
Jangan jadi seperti Hang Jebat,
setiakawannya memakan diri,
Jangan jadi seperti Tun Ali,
kepentingan diri menghalalkan penderhakaan.
Jangan jadi seperti Sultan Mahmud,
ketamakan membawa malapetaka.
Jangan jadi seperti Melaka,
dahulu gemilang kerana kesultanannya,
kini sepi tanpa sultan kerana tersalah percaturannya.

Jadilah seperti Tun Kudu,
pengorbanannya membawa kemakmuran.
Jadilah seperti Sultan Muzaffar,
rakyat jelata adalah segala-galanya.
Jadilah seperti pelanduk,
biar kecil tapi mampu menewaskan anjing.
Jadilah seperti A' Famosa,
Penuh bersistem dan masih teguh.
Jadilah seperti Melaka,
Makmur kerana kekayaannya,
Sentosa kerana kedamaiannya,
Gemilang kerana penghuninya.

.................................................
Begitulah Melaka,
Penuh budayanya,
Penuh sejarahnya,
Penuh kisahnya,
Pelajarilah mesejnya,
Kata orang, orang yang tidak belajar sejarah akan mengulangi kesalahannya,
Kata orang juga, sejarah adalah guru yang terbaik,
Kalau benar kata orang,
Belajarlah dari Melaka,
Kota bersejarah yang penuh dengan kisah,
Kota bersejarah yang mengajar kita bermuhasabah.


p/s : teringat lagu sejarah mungkin berulang oleh new boyz

Friday, December 18, 2009

Hijrah : Permulaan buat satu Pengakhiran


Hijrah itu perngorbanan,
Hijrah itu perjuangan,
Hijrah membentuk perpaduan.

Demikianlah hebatnya hijrah,
Hanya dengan satu tindakan,
Tiga pengertian yang diterjemah,
Begitu mendalamnya mesej Tuhan.

Namun, hijrah tersebut perlu disulami keikhlasan,
Dihiasi dengan ketakwaan,
Disuburi dengan keazaman,
Akhirnya diberikan sebuah ganjaran.

Alhamdulillah,
Sekali lagi kita diberi kesempatan,
Memasuki tahun baru Islam,
Walaupun ditenggelami oleh tahun baru barat,
Tiada pancutan bunga api atau konsert artis sensasi,
Tapi masih ada juga yang meraikan dengan kesyukuran,
Diiringi dengan doa akhir dan awal,
Alhamdulillah.

Semoga dengan kedatangan tahun baru ini,
Membuka lembaran baru buat kita semua,
Agar yang buruk diperindah, yang lemah diperkasa,
Agar yang cantik dijaga, yang kuat dikawal selia.

Hampir setahun kita bertapak,
Inilah masanya kita berganjak,
Jangan kita terus diulit gembira,
Rosak nanti buruk padahnya,
Awal Muharram detik permulaan,
Hanya tunggu untuk kita mulakan.

Salam Maal Hijrah.

p/s : selamat hari lahir buat abg otel, syak n nizar

Sunday, December 13, 2009

Kisah Baju Oren



Ku diberitahu kisah sehelai baju oren,
Baju oren yang dibeli oleh seorang gadis,
Kerana baju biru yang lama tidak dijumpai.

Pada mulanya, si gadis ini cukup seronok dengan baju oren tersebut,
Dipakainya setiap hari, dicuci dan dilipatnya elok-elok,
Bagi gadis tersebut, baju oren itu cukup bernilai buatnya,
Sebab itu dia sangat sayang pada baju orennya,
Dia pun tidak mahu kehilangan baju oren tersebut.

Namun, pada suatu hari,
Ketika gadis itu mengemas biliknya,
Dia terjumpa semula dengan baju biru lamanya yang menjadi kesayangannya.

Terus baju biru tersebut dibasuh, diseterika, di jaga rapi dan dipakai,
Manakala baju oren, disimpan di dalam almari dan dikunci rapat almari tersebut,
Tidak dibuang baju oren tersebut kerana mungkin akan dipakai semula jika baju biru itu hilang semula atau koyak.

Sedihnya nasib baju oren tersebut,
Dulu disayangi tapi kini hanya menjadi pemerhati,
Tiba semula baju biru, si gadis terus terpesona semula dan baju oren dibiarkan kaku.

Gadis itu sebenarnya masih sayangkan baju biru tersebut,
Setiap kali memakai baju oren, rupa-rupanya di hati gadis tersebut masih mahukan baju biru,
Alangkah bagusnya jika baju biru itu masih ada,
Alangkah cantiknya baju biru jika dibandingkan dengan baju oren.

Maklumlah,
Baju oren besar, lebar dan tiada potongan,
Baju oren pula buatan tempatan,
Lain dengan baju biru,
Keluaran luar negara dan kualiti lebih bagus,
Ada potongan, sesuailah dengan tubuh,
Tiba-tiba, si gadis mengaku yang dia sebenarnya tidak suka pun warna oren.
mmmm...Sedihnya baju oren.

Tapi ingat,
Seburuk-buruk baju oren,
Baju oren tersebut masih ada harganya,
Masih ada nilainya,
Dan masih ada kegunaannya.

Jangan kerana baju biru itu,
Baju oren ini dibiarkan, disimpan atau dibuang,
Takut nanti baju biru itu kembali hilang atau sudah tidak sesuai dipakai,
Kerana baju tetap baju,
Ada masa ia akan lusuh jua,
Makin dicuci, makin pudar warnanya,
Makin dipakai, makin longgar potongannya,
Jangan sampai baju biru itu mendedahkan segalanya ketika gadis tersebut sedang memakainya.

Buat baju oren,
Kalau sudah begitu nasibnya,
Redhalah dengan kehendak gadis tersebut,
Jangan terlalu lama tinggal dalam almari,
Kalau suatu hari nanti si gadis ingin memakai semula tidak mengapa,
Tapi takut baju oren dijadikan sebagai kain buruk, maka naya lah jawabnya.

Friday, December 11, 2009

Diet Oh Diet..Kesihatan atau Penampilan?


Diet..
Sudah banyak kali ku dengar dan sudah banyak kalu jua ku lafazkan,
Ikrarku sentiasa berkumandang taktala melihat badanku yang semakin mengembang,
Ikrarku semakin kuat memuncak ketika hendak membeli baju dan seluar,
Tapi ikrar hanya tinggal ikrar..haha

Namun, kali ini aku tekad. Aku ingin mengembalikan berat badan yang ideal yang pernah ku miliki dahulu. Terasa rindu untuk kembali kurus seperti dulu. Walaupun bukannya mudah, akan ku gagahi jua. Ramai yang mula bising melihat "pembangunan yang pesat" pada diriku. Mulanya, rasa biasa sahaja tetapi lama-kelamaan rimas pula menjelma. Hati pun mula berbisik, mungkin sudah tiba masanya aku mulakan transformasi. Mungkin sudah tiba masanya aku kecilkan diri.

Sepintas mengenai diet, ramai yang keliru. Untuk kesihatan atau sekadar demi penampilan? bagi aku, kedua-duanya. Bila badan dah berkembang, mulalah sakit sana-sini. Hendak bergerak pun susah, sekejap sudah berpeluh dan termengah-mengah. Kadang-kadang risau juga takut-takut dapat penyakit. Penampilan pun merudum. Yalah, dah berisi katanya, manalah molek dipandang. Baju yang dulu nampak sendat, seluar yang dulu kelihatan ketat, baju yang baru dirasakan besar, seluar yang baru dilihat lebar. Pendek kata, serba tak kena bila keadaan begini.

Mujurlah si dia setia menasihati. Segala nasihat dan dorongan diberi. Kadang-kadang terlepas juga kata-kata maki..haha..Tapi bagiku itulah tanda sayang di hati. Mahu melihat aku kembali segak dan tampan mungkin..hehe. Harapannya juga tinggi, tidak mahu melihat aku jatuh sakit dan mudah-mudahan kehidupanku kembali aktif.

Maka, program cuti ini adalah berkisar untuk menurunkan berat badan dan membentuk susuk tubuh. Makanan dijaga, senaman diperkasa dan rutin harian juga dikaji semula. Urutan tradisional juga antara kaedah yang ku guna. Semuanya demi mengembalikan semula "zaman kegemilangan tubuhku"..Moga-moga, permulaan semester depan nanti akan ada perubahan pada diriku dan mebuatkan si dia tersenyum puas melihat perubahan diriku adalah satu momen yang cukup berbaloi dan berharga.

Thursday, December 10, 2009

Buat Permaisuriku..


Buat Permaisuriku..
Coretan ini kau ilhamkan,
Bingkisan hati ini kau ukirkan.

Buat Permaisuriku..
Kau saksi jatuh bangunku,
Kau saksi suka dukaku,
Kau saksi senyum tawaku,
Kau saksi rintih tangisanku,
Kau saksi diriku.

Buat Permaisuriku..
Teruskanlah bersamaku,
Lakaran ini adalah segala yang kau saksikan,
Semoga kau dan aku menjadi satu,
Mengubat kelukaan mengundang kebahagiaan.

Buat Permaisuriku..
Amat bermakna buatku..

NATRAH..antara cinta, perjuangan dan airmata



NATRAH.

Sebuah kisah sejarah yang menggemparkan tanah air kita,
Kisahnya membuka banyak mata dan menginsafkan banyak jiwa,
Antara kepentingan agama yang ketuanya orang istana,
Antara kepentingan keluarga yang berbeza budaya,
Kini dipentaskan di sebuah pentas yang tak kurang gahnya,
Istana Budaya.

Aku berpeluang menonton pementasannya tempoh hari pada 7 Disember 2009. Terasa minat untuk menonton teater semakin subur. Ini semua gara-gara PGL The Musical yang ku tonton pada Febuari lepas. Masih bertemankan orang yang sama, yang sama-sama menonton teater di IB buat kali kedua di samping sama-sama mula berminat dengan teater dan moga-moga kami kekal bersama..AMIN..

Menonton kisah Natrah ini, aku terkenang sesuatu perkara. Begitu kuatnya orang Melayu dan Islam ketika itu untuk mempertahankan Natrah walaupun darah yang mengalir di dalam tubuhnya adalah darah penjajah. Mereka mempertahankan Natrah bukan sahaja kerana tidak mahu beliau dibawa pulang ke Belanda tetapi tidak mahu Natrah (yang telah pun masuk Islam) dipesongkan akidahnya. Semua orang bersatu baik golongan intelektual mahupun golongan biasa bukan sahaja demi Natrah, namun demi Islam. Benarlah, Islam itu bersaudara tanpa mengira bangsa dan warna kulit. walaupun darah yang mengalir dalam tubuh Natrah adalah darah penjajah, namun demi Islam semuanya ditolak ke tepi. Begitulah hebatnya perjuangan orang dahulu sedangkan hari ini, ramai pula yang ingin keluar dari Islam. Walaupun pengakhirannya amat menyedihkan, pengajarannya wajar kita jadikan sebagai pedoman. Cintanya harus kita mekarkan. Perjuangannya mesti kita teruskan. Air matanya jangan kita siakan.

Begitulah Natrah,
Kini ia hanya satu lipatan sejarah,
Buat kita semua yang tidak sudah-sudah melatah.

Hidup juga begitu. Kadang-kadang kita berjaya dalam perjuangan, kadang-kadang kita tersungkur di medan pertempuran. Tapi jangan sampai kalah sebelum berperang.

Cinta juga begitu. Ia boleh dianggap sebagai perjuangan. Perjuangan untuk memenuhi tuntutan hati. Cinta yang membuatkan kita bahagia, suka, sengsara dan duka. Cinta juga mengajar kita erti pengorbanan, kesetiaan dan keyakinan yang diperlukan dalam sebuah perjuangan. Akhirnya, kalau dah nama pun cinta, pasti air mata menjadi sahabat setia.

Begitulah..
Cinta, perjuangan dan airmata.
Dari kisah Natrah yang mengukir sebuah fitrah.

Permulaan Perjalanan..

Alhamdulillah..
Perjalanan itu suatu kisah,
Kisah itu sebuah sejarah,
Sejarah itu ku sandarkan untuk berserah..

Perjalanan ini,
Mungkin bererti,
Mungkin dicaci,
Mungkin juga mati..

Namun,
Izinku berjalan,
Kemudian berlari,
Menemui destinasi,
Sebagai jawapan persoalan di hati..

Buat permaisuriku,
Kau lah saksi....