Ada satu kisah, di sebuah kerajaan yang tidak bernama,
Ditadbir tanpa sebarang pengaruh mana-mana kuasa,
Rakyatlah ketua, Rakyatnya juga adalah raja,
Tiada seorang pun hamba, keadilan untuk semua.
Ada satu kisah, kerajaan ini dirombak semula,
Pemilihan Sang Raja atas peninggalan yang lama,
Tidak dipilih tidak juga ditentang,
Maka naiklah takhta Raja dijulang.
Ada satu kisah, Raja ini ditentang rakyat jelata,
Dituduh pengkhianat amanah warisan,
Dicerca menconteng arang ke muka kerajaan,
Dikritik tidak berkelayakan kerana tiada pemilihan.
Ada satu kisah, Raja ini berseorangan,
Kesatrianya hilang tanpa dikesan,
Panglimanya melihat tanpa sebarang perasaan,
Raja ini dimalukan depan rakyat jelata,
Rakyat menuntut Raja turun takhta,
Sekalipun Raja belum mula mengeluarkan titah,
Dipaksa rakyat agar Raja ikut perintah.
Raja tersentak,
Jatuh gelaran tinggal nama Ketua,
Satu hukum kerajaan tidak bernama ini,
Ketua tugasnya bukan memimpin,
Bukan juga saranannya dipatuh,
Ketua hanya kuli dan hamba,
Rakyat meminta-minta, Ketua ikut sahaja,
Bunyinya agak pelik,
Sebab prinsip pada nama yang didokong adalah keadilan,
Tiada hamba tiada abdi,
Rupa-rupanya “tuan” yang menjadi “hamba”.
Ada satu kisah, Ketua ini punya maruah,
Ikrarnya untuk membuktikan semua salah,
Kepada Ilahi dia berserah,
Andai ini ujian-Nya dia pasrah.
Demikianlah kisah sebuah kerajaan tidak bernama,
Menanti masa untuk binasa andai aturan ini kekal selamanya. Nauzubillah.
No comments:
Post a Comment