Saya cintakan debat. Pengalaman
debat saya di Universiti Malaya bermula di Minggu Haluan Siswa dimana ketika
itu saya mewakili pasukan debat Kolej Pertama untuk pertandingan debat di
sepanjang minggu yang penuh “kegirangan” itu. Bertitik tolak dengan itu, saya
telah menyertai Kelab Orator & Puisi Universiti Malaya untuk meneruskan
minat dalam dunia perdebatan ini. Ketika menyertai kelab tersebut, saya
dimaklumkan bahawa Universiti Malaya merupakan satu nama besar dalam dunia
perdebatan peringkat IPT. Lantas, ia menjadi satu dorongan yang cukup
mengujakan buat saya untuk terus mendalami ilmu perdebatan dan seterusnya
meneruskan legasi Universiti Malaya dalam arena perdebatan.
Ramai
beranggapan, berada di sebuah universiti yang disegani sememangnya bertuah
kerana tidak perlu untuk bersusah payah dalam mencapai kejayaan iaitu menjuarai
pertandingan debat di peringkat nasional. Sememangnya sangkaan itu meleset sama
sekali. Perjalanan karier debat saya tidak seindah yang disangka atau yang saya
sendiri impikan. Masih segar dalam ingatan saya betapa jurulatih saya ketika
itu, Azizul Hakim, menempelak saya dek persembahan saya ketika sesi latihan,
yang baru sebulan saya sertai, “kau
memang tak layak berdebat untuk UM. UM tak pernah ada pendebat sebodoh kau”
. Bayangkan, di hadapan para senior dan rakan-rakan yang lain, saya ditengking
dengan kata-kata sebegitu rupa. Hati mana yang tidak terguris dengan kata-kata
itu, malah pernah hati kecil ini mendengus untuk berhenti dan berputus-asa
dalam karier debat ini. Namun, kerana cintakan debat, dipujuk juga hati ini
untuk menelan segala kata-kata cacian yang dilemparkan kepada saya. Pujuk hati
ini, andai ini adalah provokasi, maka akan dijadian sebagai motivasi. Tambah
memeritkan, apabila saya diletakkan dalam pasukan UM Muda 2, atau boleh
dikatakan sebagai pasukan keempat UM untuk pertandingan Debat DiRaja pada tahun
pertama saya ketika sahabat seperjuangan saya (sehingga kini), Firdaus Ahmad
diletakkan dalam pasukan Muda Utama. Melengkapkan kisah kecewa di awal
pembabitan saya dalam debat, saya bersama rakan-rakan pasukan tewas seawal
pusingan awal pertandingan.
Memandang
ke hadapan bagi melupakan episod duka saya, saya menjadikan pertandingan
seterusnya sebagai pengubat kekecewaan lama. Debat Terbuka Astar – medan
terbaik untuk saya pulihkan semangat saya. Bersama Firdaus dan Munirah, kami
tidak diberikan sebarang harapan untuk melangkah jauh dalam pertandingan ini.
Namun, atas semangat untuk membuktikan betapa kami juga layak untuk mewakili
Universiti Malaya dan seterusnya menjadi pelapis kepada pasukan senior, kami
berjaya melangkah ke Separuh Akhir. Lebih manis lagi, saya dinobatkan sebagai
Pendebat Terbaik Keseluruhan dalam pertandingan tersebut. Masih jelas dalam
ingatan apabila para senior memberi “standing ovation” usai saya menghabiskan
pergulungan di Separuh Akhir. Walaupun kecewa kerana tidak dapat menjuarai
pertandingan tersebut, boleh saya katakan di situlah titik tolak karier debat
saya berkembang di Universiti Malaya apabila bermula dari situ, saya diberi
kepercayaan oleh senior dan jurulatih untuk diserapkan ke dalam pasukan senior
Universiti Malaya. Menyertai Azri Zahier dan Shen Yee Aun dalam penampilan
pertama saya di peringkat senior, saya mungkin dianggap sebagai penumpang dalam
pasukan tersebut. Namun, apa yang lebih mengejutkan adalah apabila saya
diberikan mandat yang cukup besar – penggulung- satu tanggungjawab yang cukup
besar di dalam pasukan. Cukup terharu dengan kepercayaan ini, saya cuba
melakukan sedaya mungkin dan Alhamdulillah, kami mendapat Naib Johan dalam
Pertandingan Debat Perpaduan tersebut.
Melihat
kepada pencapaian saya dalam penampilan pertama di peringkat senior, mungkin
ramai beranggapan bahawa karier debat saya sentiasa cerah selepas itu. Namun,
perjalanan debat saya tidak menentu dan turun naik. Selepas Debat Perpaduan
tersebut, bermula dari tahun 2009 hingga 2011, saya telah menyertai sebanyak 20
pertandingan, 3 terkandas di pusingan awal, 7 tumpas di suku akhir, 8 tersekat
di separuh akhir dan 2 tewas di akhir. Setelah mengalami kekalahan demi
kekalahan, kekecewaan demi kekecewaan, namakan apa sahaja pertandingan, Royal,
Integriti, Gender, Perpaduan, IKIM, Keamanan, Alam Sekitar, semuanya telah saya
sertai dan tiada satu pun saya mengucup piala kemenangan. Boleh dikatakan,
ketika itu merupakan zaman kejatuhan UM dan jurulatih pun sanggup meninggalkan
kami kerana bagi beliau, tiada apa lagi yang boleh dilakukan kepada kami. Ayat
yang beliau lontarkan kepada kami “I dah
tak tahu nak buat apa dah dengan you all. Maybe I tak pandai melatih atau you
all yang memang tak reti berdebat”. Setahun kami bergerak sendirian tanpa
sebarang panduan. Saya dan Firdauslah yang bersusah payah mencari ahli pasukan,
merekrut junior yang janjinya taat setia tapi akhirnya keluar juga dek mengejar
aktivti kolej yang saya sendiri tidak tahu signifikannya, mencari tempat
latihan kerana kelab asal diubahsuai, tiada elaun, tiada kenderaan, semuanya
ditanggung sendiri. Sehinggakan sampai satu tahap, saya dan Firdaus menyatakan
hasrat untuk bersara dari karier debat kerana merasakan kami sudah tidak layak
lagi mewakili UM dan sudah tiba masanya tempat kami diisi oleh muka baru.
Namun, kami tekad, sebelum kami bersara, kami akan menghadiahkan
sekurang-kurangnya satu kejuaraan kepada Universiti Malaya sebagai menunaikan
janji kami ketika kami menyertai pasukan debat UM pada awal-awal dahulu.
Tuhan
itu semangnya pengatur yang Maha Bijaksana. Mungkin Dia lihat begitu banyak
kejatuhan yang saya dan rakan-rakan alami, akhirnya pada Januari 2012, Dia kurniakan
kami hadiah yang telah lama kami nantikan. Bersama Firdaus dan Keng Fhai, Dia
berikan kejuaraan pertama saya dan Firdaus dalam karier debat kami, Johan Debat
1 Malaysia. Lebih manis, kami menjuarai pertandingan tersebut tanpa tewas walau
satu perlawanan sekalipun sehingga diberikan jolokan “Pasukan Kebal” dan “Juara
Mnunggu” oleh rakan-rakan pendebat yang lain. Tambah mengujakan, saya
dianugerahkan Pendebat Terbaik dalam perlawanan akhir dengan disaksikan ahli
keluarag tercinta yang hadir membuat kejutan pada malam tersebut. Seminggu
kemudian, Dia berikan sesuatu yang lebih besar kepada saya baik sebagi individu
dan juga sebagai pasukan. Sesuatu yang menjadi impian buat semua insan yang
pernah bergelar pendebat. Anugerah Kecemerlangan Individu dan Johan Debat Di
Raja yang boleh dianalogikan sebagai “FIFA World Best Player” dan “World Cup”
dalam sukan bolasepak. Apa lagi hadiah paling bermakna untuk saya dan
rakan-rakan melainkan kemenangan sebesar ini. Sesungguhnya, inilah hadiah yang
paling manis buat saya dan boleh dianggap sebagai hadiah yang sempurna buat
karier debat saya yang penuh dengan kisah suka duka. Sekalipun cuba mencari
penamat yang sempurna pada DAS2012 di bumi sendiri, namun rezeki tidak berpihak
pada saya dan rakan-rakan apabila tumpas di akhir.
Terima kasih
tidak terhingga buat mereka yang melihat jatuh bangun saya dan tidak pernah
berhenti memberi semangat dan doa kepada saya dan rakan-rakan. Terima kasih
kepada yang terus percaya kepada kemampuan saya, yang sanggup hadir memberi
sokongan kepada saya, yang tidak jemu memberi dorongan kepada saya dan yang
senantiasa membantu saya serta juga yang bermuka-muka terhadap saya. Kemenangan
ini untuk kita semua.
Demikianlah,
kisah debat saya buat tatapan semua. Siapa sangka, dari seorang yang dikatakan
tidak layak berdebat untuk UM, hampir dibuang kelab kerana prestasi yang tidak
menentu, dikatakan juga sebagai tiada harapan, dibiarkan pula berjalan
sendirian, saya kini menjadi Presiden kepada sebuah kelab yang banyak mengguris
hati saya suatu ketika dahulu. Saya jadikan ia sebagai panduan terbaik saya
sehingga saya mengecapi kejayaan yang saya ada ketika ini. Benar, tiada yang
istimewa dalam perjalanan saya. Saya bermula dari bawah, tiada jalan pintas, dan
kejayaan hadir ketika saya di penghujung karier. Syukur kerana saya diberi
peluang untuk merasainya setelah kejatuhan yang saya alami. Moga ia menjadi
pedoman dan pemangkin buat para pembaca. Mengenai kisah seorang insan biasa
yang melalui pengalaman biasa dalam mencapai kejayaan luar biasa.
time tu julai 2007,mule2 masuk bilik aku nampak brader ni dh ade dlm bilik.kemas2 brg ape sume,muke cm ganas giler,tp bile dh kenal2(even tak close mane pon),aku tau die ni jenis baek hati,suke amek tau psl org even time susah atau senang.
ReplyDeletebile bace entry ni,aku tau die pasti buleh jadi somebody and tuhan balas ape yang die nak!
haha.tahniah doo azzairi!!!
p/s:slmt berkonvo walaupun terlambat.hahahahaha
-MUHAMMAD AMIN FIRDAUS MASHUDI-