Raja itu sememangnya berdaulat,
Dari dulu Raja sentiasa diangkat,
Kerna kedaulatannya membawa berkat,
Maka sembah rakyat tanda hormat.
Raja itu tinggi darjatnya,
Mahligainya,
Singgahsananya,
Kerajaannya,
Hatta makamnya,
Semuanya berbeda kelas dan kedudukan.
Yang paling utama adalah mahkota si raja,
Yang begitu diinginkan oleh rakyatnya,
Yang sentiasa mengimpikan siang dan malam,
Kerna mahkota itu kemuncak kejayaan oleh rakyat.
Rakyat berjuang demi mahkota,
Rakyat berperang demi mahkota,
Segala kudrat diberikan,
Segala kekuatan dikeluarkan,
Semuanya demi mahkota sang raja,
Yang sudah lama tidak menjengah halaman rakyat.
Bagi rakyat,
Mahkota itu bukan sekadar daulat raja untuk dijunjung,
Bukan juga sekadar lambang raja untuk disanjung,
Tapi lebih dari yang boleh dihitung.
Mahkota itulah maruah,
Mahkota itulah salasilah,
Mahkota itu juga pencipta sejarah.
Sebab itu rakyat inginkan,
12 hulubalang dijadikan sandaran,
Dikumpulkan semua pengalaman dan kekuatan,
Namun masih tersungkur di tengah jalan.
Skripnya masih serupa,
Walaupun medan perang adalah berbeza,
Semuanya tumbang tatkala sinar ada,
Kelalaian yang akhirnya membawa malapetaka.
Rupanya,
Raja masih ada syaratnya,
Bukan senang merampas mahkotanya,
Mahkota ini tinggi darjatnya,
Sebab itu masih jauh jaraknya.
Kali ini,
Rakyat tetap akur,
Bahawa rakyat perlu banyak bertafakur,
Supaya nanti rakyat tidak terus tersungkur.
Kepada sang raja,
Nantikan kebangkitan si rakyatmu.
saya bukan hulubalang.saya panglima perang ye.
ReplyDelete