Monday, June 27, 2011

Isu Halal : Kita Masih Terkial-kial

Tahun 2010, Malaysia berikrar menjadi hub halal dunia,
Ironinya permasalahan halal seperti tidak ketahuan nokhtahnya,
Maka terpanggil untuk diri ini berbibacara,
Agar hub halal dunia bukan sekadar pada nama.

Di Malaysia,
Pengurusan dan pentadbiran halal merangkumi pelbagai entiti,
Seawal dari ladang hingga ke tangan pembeli,
Semuanya dijaga dengan rapi.

Tujuan kepelbagaian hanya satu,
Bagi memastikan pengguna mendapat apa yang perlu,
Tapi cantik di kertas,
Tak bermakna pelaksanaannya bernas,
Pabila dipinta turun padang,
Semuanya menghilang,
Pabila aduan diberi,
Masing-masing bersilang menuding jari.

Ini yang aku kecewa,
Malaysia merdeka bukan sehari dua,
Dokumen undang-undang tebalnya pun bukan semuka,
Namun apabila tindakan perlu diambil,
Mengapa masih ada mata yang terkebil-kebil.

Sebagai pengguna kuasa kita bukan hanya membeli,
Tetapi juga kuasa untuk meneliti,
Jangan sekadar bergantung pada jenama,
Perlu juga diperiksa asal-usulnya.

Kini,
Bir halal sudah mula dipersoal,
Meatball IKEA juga tinggal tanda soal,
Berangnya aku hanya seperkara,
Mengapa baru sekarang diperiksa setelah sekian lama.

Yang menghidang pula terus girang,
Yang mereka tahu wang yang mendatang,
Logo halal diperkosa,
Hukum syarak dipejamkan mata,
Ah persetankan itu semua,
Yang penting kita kaya.

Akhirnya,
Yang ini diragui,
Yang itu dikhuatiri,
Maka apa yang tinggal untuk perut ini.
Andai pasir, kayu dan batu itu boleh dijamah,
Dengan keadaan begini,
Tak mustahil tiga benda ini pun boleh jatuh hukum shubhah.

Anehnya,
Semua perkara ini berlaku setelah semua usaha digembleng,
Namun hari ini aku hanya mampu menggeleng-geleng.

Benar mencari yang halal itu fardhu,
Sebab itu kita tidak boleh duduk diam membatu,
Kerna darah daging ini akan sampai ke anak cucu,
Jika itulah yang berlaku,
Haru..

Sekadar pesanan buat semua,
Tak mahu kerna nila setitik rosak susu sebelanga.

2 comments:

  1. Yang hitam dan putih tak pernah berasingan. Too much grey areas here in Msia, sadly! Happy holidays Leng!

    ReplyDelete
  2. aku mnunggu perihal bersih

    ReplyDelete