Thursday, December 5, 2013

Seagung Mana Perhimpunan Ini?

Sudah lama tidak dijengah ke ruang bicara ini,
Jujur hati sudah tawar untuk menulis,
Tapi tiba-tiba hati terpanggil untuk berkongsi,
Moga masih ada resapan rasa manis.

........................................................................................................

Perhimpunan Agung UMNO 2013,
Lagi popular dengan #PAU2013,
Treding paling tinggi di carian twitter ketika ini,
Sekurang-kurangnya untuk tempoh seminggu ini.

Adapun kiranya resam dan resmi yang sama,
Dalam seminggu ini akan dengarlah lontaran-lontaran vokal perwakilan,
Perjuangan bangsa akan dibicarakan,
Survival bangsa akan dibangkitkan,
Keperitan dan jerih bangsa akan dikongsikan,
Maka bersoraklah sekalian dewan,
Tak kurang juga basahnya pipi dialirkan tangisan,
Dalam nada sayu, puitis, amarah dan gempita laungan,
Itulah kronologi dalam setiap kali perhimpunan,
Ikhlas atau lakonan? Itu antara dia dengan Tuhan.

Perhimpunan ini hakikatnya dibelengu banyak persepsi,
Antara kegigihan dalam perjuangan parti, desakan perubahan jiwa rohani atau wadah bermuhasabah diri,
Persepsi ini lahir bukan begitu saja,
Ia lahir dari pemerhatian dan pengamatan baik keluarga, kawan mahupun musuh,
Ia membesar atas dasar kepercayaan dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi,
Ia juga bisa mati melalui rasa ragu dan sangsi.

Puncanya?
Kesilapan sendiri, kelalaian kendiri atau pengkhianatan dalam diri.
Sebab itulah bilamana perhimpunan ini kembali diadakan,
Ramai yang menganggap ini untuk tujuan populariti, ada juga kata ini sebuah pertandingan retorik malah lebih malang mengumpamakan ini sebagai medan berniaga,
Asanya sudah hilang, pendiriannya juga rapuh tak bertiang,
Puncanya?
Salah siapa?

UMNO itu maksudnya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu,
Apa kiranya mereka yang hadir ini faham erti "Kebangsaan Melayu?",
Apa kiranya mereka yang hadir ini faham maksud "Melayu Bersatu?",
Laungan HIDUP UMNO dan HIDUP MELAYU itu umpama lirik dalam lagu, wujudnya wajib tapi penghayatan belum tentu,
Apa kiranya mereka yang hadir ini mengerti hidup yang bagaimana ingin diberikan kepada Melayu?
Apa kiranya mereka yang hadir ini mengerti apa yang perlu dibuat bagi memastikan UMNO terus hidup?
Dan apa kiranya mereka sedar UMNO dan Melayu perlu hidup bersama, berpegang pada paksi betapa UMNO yang memastikan Melayu hidup, dan percaya pada prinsip sesungguhnya Melayu yang menghidupkan UMNO?

Bilamana parti ini dihentam dicaci dimaki,
Apakah UMNO itu hidup?
Bilamana parti ini berlawan dengan diri sendiri,
Apakah MELAYU itu hidup?

Di sinilah ia kembali kepada permulaannya,
Kembali mengintai sejarah rahim kelahiran,
Bagaimana Hidupnya Melayu dan UMNO hingga getar tubuh penjajah durjana,
Bagaimana Hidupnya Melayu dan UMNO hingga semua berpaut padanya,
Bagaimana Hidupnya Melayu dan UMNO hingga Raja-Raja turut berperisakannya,
Bagaimana Hidupnya Melayu dan UMNO hingga semua manusia di Tanah Melayu bersatu kerana ideanya,
Sejarah dimulakan dengan sebuah perhimpunan,
Yang menyedarkan semua tentang nilai kemanusiaan,
Yang menginsafkan semua tentang pentingnya sebuah kebangsaan,
Itu sejarah, kisah purba.

Kali ini rentak dan paluannya berbeda,
Sejarah hanya tinggal rujukan sahaja,
Namun prinsipnya perlu dikekal sama,
Cuma inti ikut haluan semasa.

Hari ini mereka perlu sedar,
Bahawa Hidup Melayu dan UMNO itu kini lebih besar takrifannya,
Melayu dan UMNO itu hidup untuk semua, termasuklah India dan Cina, termasuklah semua bangsa dan agama,
Melayu dan UMNO itu hidupnya berbudi, takkan sesekali mengungkit dan mencengkik.

Cabaran Melayu dan UMNO perlu diperhalusi,
Hari ini cabaran yang menimpa bukan lagi bersifat esklusif tetapi kini universal,
Isu kos sara hidup, pendidikan, kemiskinan, masalah sosial - Melayulah juaranya,
Isu murtad, ajaran sesat, penyelewangan akidah - Melayulah tunjangnya,
Cabaran juga berbeza untuk UMNO terus hidup,
Kalau dulu Melayu itu ortodoks hari ini Melayu itu liberal,
Golongan ini jangan diperangi tetapi harus didekati,
Belajar cara mereka berfikir, bertindak dan dari mana mereka didoktrin,
Supaya roh Melayu dan UMNO turut hidup dalam diri mereka,
Bukan lagi Cina dan India cabaran utama,
Tapi mendekati Melayu Liberal inilah yang paling utama,
Kalau keluarga sendiri pun tidak sukakan kita, apatah lagi jiran-jiran tetangga.

Maka perhimpunan ini diharapkan kembali pada fungsinya,
Jangan terus bermegah dengan siaran setengah jam berita dan separuh helaian akhbar,
Kadang-kadang itu jugalah yang mematikan UMNO dan Melayu,
Buat yang punya peluang untuk berbicara dah berbahas di pentas keramat itu, gunakanlah sebaik-baiknya,
Aku tak pernah dan mungkin takkan pernah untuk merasa aura gemuruh pentas itu,
Tapi aku akan bersuara biar secara "senyap"di Kisah Sang Kasih ini mengharapkan ada yang peduli,
Dan diri ini akan terus bertanya bilamana survival hidup Melayu dan UMNO itu diperkata,

Seagung mana perhimpuna ini memandunya?

p/s : teringin nak beli sampin UMNO.


No comments:

Post a Comment