Tuesday, July 23, 2013

Impian.

Sifat manusia itu suka bermimpi,
Kerana dalam mimpi itulah yang buat manusia lupa sebentar derita realiti,
Berfantasi semahu mungkin,
Terbang dalam awangan sampai kadang-kadang buat manusia mahu terus kekal dalam mimpi.

Dari mimpi lahirlah impian,
Yang buatkan manusia terus bersemangat dalam mencari jalan memenuhi impian,
Memberi alasan untuk manusia terus hidup,
Memberi kekuatan untuk manusia terus dan terus bekerja.

Impian ini melahirkan harapan,
Manusia berpegang pada harapan dan berpaut erat padanya,
Kerana dengan harapan itulah manusia terus percaya akan sesuatu,
Sebab itu bila harapan terlalu tinggi, sekali ia pergi terus berkecai seluruh hati.

Akupun tak berkecuali,
Dari kecil aku suka bermimpi dan berfantasi,
Banyak perkara yang hendak aku capai dan teroka,
Banyak "kisah dongeng" tentang masa depan aku yang aku cipta dan reka,
Semuanya kerana mainan otak aku yang tak henti-henti,
Sebab bila berbuat sebegitu, aku jadi suka, aku jadi gembira dan aku lupa derita duka,
Dan itulah yangmemberi landasan dalam perjalanan hidup aku.

Seperti orang lain, aku juga punya impian,
Impian yang mudah dan barangkali klise,
Mahu jadi orang berjaya, dihormati dan disegani,
Mahu jadi manusia kaya, tiada hutang, sihat sentosa,
Mahu buat Mama dan Ayahku tersenyum bangga, puas kerana bersusah payah membesarkan aku,
Mahu menjadi imam yang baik untuk bakal makmumku,
Mahu punya anak-anak yang soleh solehah, keluarga bahagia,
Itu impian aku. Mudah.

Pada mulanya aku gembira kerana aku mula berada pada landasan yang selayaknya,
Aku yakin dengan panduan ini, bergerak atas jiwa tekun dan tanpa sabar mahu melihat kemana haluan ini pergi,
Tanpa mahu riak aku berkongsi doa kenalan yang kata aku punya potensi besar,
Mereka kata bahawa aku bakal berjaya, menjadi orang besar, berbakti pada semua, itu teriakan mereka,
Aku rasa bangga, di kala aku rasa bahawa aku ni lahanat durjana rupa-rupanya ada insan yang dapat melihat sisi baikku, mungkin tak segah malaikat, tapi cukuplah buat aku terus percaya pada harapanku,
Aku pun tak pernah dambakan pujian sebegitu,
Aku lali dengan cercaan kerana aku tidak dibesarkan dengan kata-kata manis, benar.

Hakikatnya, dalam perjalanan yang selama ini aku penuh yakin,
Kini aku mula diserang rasa ragu dan celaru,
Apa benar ini jalan yang aku perlu lalu atau sebenarnya aku sudah tersesat dalam kabus keliru,
Entah kenapa, aku jadi lemah, semangat aku lari, jiwa aku mati,
Buat pertama kali dalam sejarah perjalanan hidup yang penuh dengan harapan demi sebuah impian,
Aku putus asa, aku pasrah, aku berserah dan aku biar diri aku hanyut dalam deras kekecewaan.
Benar, aku kecewa,
Melihat teman seperjuangan yang sudah ke hadapan,
Aku makin buntu,
Cemburu, dengki, geram semuanya sudah diadun sebati,
Aku pun mahu menjadi seperti mereka, berdiri di mana mereka berada, kerna aku yakin yang aku juga boleh buat benda yang serupa,
Tapi aku tak boleh, bukan kerana kapasiti diriku, tapi kerana aku tersekat dan ia benar-benar membunuhku,
Perlahan-lahan, aku mati dari dalam.

Buat sejukkan hati, semua akan kata mungkin ada hikmah di sebalik ini,
Tuhan pasti ada perancangan,
Ya aku percaya semua itu, aku tak pernah nafikan dan takkan pernah berhenti untuk terus percaya,
Tapi kadang-kadang aku fikir apakah benar ini adalah cabaran atau sebenarnya ini adalah hukuman,
Mungkin ada silap yang aku tak pernah sedar atau ada dosa yang aku tak pernah pinta untuk diampunkan.

Dan tika ini,
Aku bergelut dalam menyalakan harapan,
Agar ia terus membakar untuk aku bergerak ke arah impian,
Aku yakin impian itu masih boleh untuk aku capai,
Dan akan aku pastikan ia takkan mati,
Setiap hari aku berperang dalam ruang kecil nurani,
Apakah aku bekerja ini untuk hanya survival hidup atau untuk mengejar impian?
Apakah aku sudah pasrah dalam cinta atau aku perlu berjuang demi cinta?
Apakah aku hidup untuk diri atau perlu aku gembirakan hati lain?
Dan kalau benar dalam mengejar impian itu perlukan pengorbanan, apa dan siapa yang perlu aku korbankan?

Impian.
Aku redha dalam tangis,
Kerana aku percaya janji Tuhan itu sentiasa manis.

No comments:

Post a Comment