Bahasa Malaysia.
Ramai juga yang lagi suka panggil Bahasa Melayu,
Memang itu asal usulnya pun,
Ditukar Malaysia supaya nampak lebih "kebangsaan",
Agar semua belajar dan rasa itu bahasa "kita".
Perjuangan berkenaan survival Bahasa Malaysia ini sudah banyak,
Sehinggakan bila dasar pendidikan negara diubah dengan mengutamakan Bahasa Inggeris,
Mereka yang sebelum ini tak pernah peduli (malah ada yang cakap BM pun tersekat-sekat),
Bangkit merapatkan saf untuk menuntut agar daulat Bahasa Malaysia ini dikembalikan,
Beraraklah sehingga akhirnya dasar ini diubah semula,
Maka bersoraklah si "perwira-perwira" ini sebagai lambang kemenangan,
Soalnya, kemenangan siapa?
Kemenangan Bahasa Malaysia atau kemenangan imej politik mereka?
Memartabatkan Bahasa Malaysia ini bukan semata-mata kita membuat dasar untuk menggunakannya sebagai bahasa pengantar utama,
Atau meletakkannya sebagai bahasa urusan rasmi kerajaan,
Tapi perlu diabadikan dalam pengamalan seharian oleh semua rakyat Malaysia.
Apa guna jika dasar sini sana, terpekik terlolong perjuang ini bagai, tapi realitinya pengamalan dan penguasaannya sangat mengecewakan.
Ironinya, "mereka" yang selalu menggelarkan diri mereka ini "Kami pun rakyat Malaysia" dan begitu rakus mahukan hak samarata atas nama "Rakyat Malaysia" ini,
Bila bertutur dalam Bahasa Malaysia pun terketar-ketar, malah tersangkut seolah-olah tak tahu langsung apa itu Bahasa Malaysia,
Terdetik jugak di sanubari, apa kalian ini tidak tinggal di sinikah?
Malah lebih mendukacitakan, ada dalam kalangan "pemilik" bahasa asal ini pun agak lokekuntuk bertutur dalam Bahasa Malaysia,
Samada slang ditukar atau mereka melihat Bahasa Malaysia ini sebagai "bahasa kelas kedua", tapi ternyata pengamalan itu sangat mendukacitakan.
Untuk mereka yang fasih atau separa fasih, aku tabik, tiada keraguan.
Tapi untuk mereka yang tidak fasih dan sangat sukar untuk bertutur, aku sangat hairan.
Kalau orang tanya adakah aku mahukan 100% rakyat Malaysia fasih atau separuh fasih dalam pertuturan Bahasa Malaysia?
Jawapan aku "ABSOLUTELY".
Sebab apa? Sebab ini negara Malaysia, kita semua mengaku yang kita rakyat Malaysia, kita mahukan diri kita diiktiraf dan dilayan sebagai rakyat Malaysia dan Bahasa Malaysia adalah bahasa negara kita, maka memang permintaan aku ini sangat rasional dan munasabah.
Hidup selama 4 tahun di sebuah fakulti yang mengangkat Bahasa Inggeris sebagai bahasa ideal dan di mana rasa hormat itu akan sedikit tinggi bila Bahasa Inggeris boleh dituturkan seperti air yang mengalir deras,
Aku agak terkilan apabila tiada usaha untuk memperkasakan Bahasa Malaysia di situ.
Mungkin sesiapa yang bertutur dalam Bahasa Malaysia akan dianggap kolot atau tak urban, aku tak tahu, tapi yang pasti ada aura negatif bila Bahasa Malaysia itu digunakan.
Dan aku sangat yakin, perkara ini menular di mana-mana sahaja.
Aku tak kata menguasai Bahasa Inggeris itu satu jenayah, tapi aku mahu tekankan, sebagai rakyat Malaysia, adalah "berdosa" jika nak bertutur dalam Bahasa Malaysia pun tak reti.
Entah mana silapnya. Sistem? Didikan? Pergaulan? Aku betul-betul taktahu.
No comments:
Post a Comment