Wednesday, February 3, 2010

Deramang..mungkin juga salahmu.

Deramang,
Kau anak dagang yang merantau,
Jauh dari batu pahat kau melangkau,
Mencari pengalaman sebagai pemuzik jalanan,
Di bumi langkawi akhirnya kau berkenan.

Temumu wan derus selaku sahabat setia,
Janjimu menjaga ketenteraman keluarga,
Pak Andak dan Mak Andak pengasuhmu seketika,
Mahsuri jelita tanggunjawabmu yang nyata.

Namun kehadiranmu tidak disenangi,
Ada insan yang memendam rasa dengki,
Fitnah durjana antara engkau dan mahsuri,
Angkara mahura dipersetujui suami.

Deramang,
Ujian yang menimpamu amat perit untuk ditanggung,
Fitnah yang menerjahmu sangat tajam menusuk jantung,
Betapa kasihmu terhadap mahsuri hanya seperti saudara kandung,
Namun hati manusia tiada siapa yang dapat membendung.

Deramang,
Adakah mungkin juga kerana salahmu?
Merantau di bumi orang sehingga lupa asal-usulmu,
Sepatutnya adat resam negeri orang kau dalami dahulu,
Supaya kau tahu batas-batasmu.

Janji kau ikatkan tapi tak kau fikirkan,
Walaupun niatmu ikhlas tapi masih ada kesan,
Permaisuri orang yang kau letakkan,
Sebagai janji kepada sahabat yang menaruh kepercayaan.

Deramang,
Silap langkahmu,
Sepatutnya bukan itu janjimu,
Malah bukan di sini tempatmu,
Bayangkan jika dirimu tiada,
Pasti tiada siapa yang terluka,
Pasti anak kecil akan kenal siapa ibunya.

Deramang,
Benar mahsuri sayangkanmu,
Benar mahsuri menghargaimu,
Benar kau sanggup berkorban demi mahsuri,
Benar apa sahaja hanya buat mahsuri,
Tapi jangan kau lupa,
Wan derus cinta hatinya,
Kehadirannya dirindui,
Kepulangannya dinanti,
Sebab itu tidak sepatutnya kau mementerai janji,
Janji yang akhirnya memakan diri,
Derita yang melapah hati,
Sakitnya pula tidak terperi.

Deramang,
Belajarlah dari kesilapanmu,
Bergurulah dari pengalamanmu,
Susunkanlah semula gerak langkahmu,
Agar kau tidak lagi membinasakan dirimu.

Walau apapun jua,
Kau perlu terus percaya,
Di sebalik setiap kepahitan,
Pasti ada kemanisannya.

2 comments:

  1. Deramang,
    Benar mahsuri sayangkanmu,
    Benar mahsuri menghargaimu,
    Benar kau sanggup berkorban demi mahsuri,
    Benar apa sahaja hanya buat mahsuri,
    Tapi jangan kau lupa,
    Wan derus cinta hatinya,
    Kehadirannya dirindui,
    Kepulangannya dinanti,
    Sebab itu tidak sepatutnya kau mementerai janji,
    Janji yang akhirnya memakan diri,
    Derita yang melapah hati,
    Sakitnya pula tidak terperi.


    setuju. terima kasih.

    ReplyDelete