Friday, September 17, 2010

1 Periuk Nasi

Wahai nasi, beritahu kami rahsia kamu ;
Bagaimana kamu boleh memikat semua orang?

Satu ketika kamu mesra dengan daging kambing beralaskan daun pisang,
Di ketika lain kamu bergaul pula dengan potongan daging ayam Ipoh yang empuk,
Dan pada setiap pagi, kamu tidak pernah ketinggalan untuk bersama-sama ikan bilis, sambal dan telur buat sarapan.

Di pesta kami yang meriah, kamu sentiasa di sana meraikannya bersama-sama,
Di Hari Raya, kamu menyertai kawan-kawan kamu dan membawa kami ketupat dan lemang,
Di Deepavali, kamulah yang memberi warna yang menarik untuk dijadikan kolam,
Di ambang Tahun Baru Cina, kamu membawa keluarga dari jauh untuk pulang berkumpul,
Dan di Hari Gawai dan Kaamtan, kamulah punca semua orang menyambutnya.

Mungkin rahsia kamu adalah kamu tidak memilih,
Tak kisahlah kami menggunakan penyepit, sudu atau tangan,
Kamu sentiasa gembira berkongsi makanan dengan kami.

Setiap hari, tatkala kami berkumpul bersama keluarga menikmati hidangan,
Kamu sentiasa hadir untuk mengingatkan kami tentang rahsia sebenar negara kita,
Bahawa kita semua berkongsi 1 periuk nasi yang sama,
Dipenuhi satu demi satu dengan pengorbanan, kerja keras dan perpaduan mereka yang hadir sebelum kita.

Dan kita semua berkongsi 1 tanggungjawab,
Untuk terus mengisi periuk nasi ini,
Bersama-sama untuk mereka yang hadir selepas kita.

16 September 1963,
Satu sejarah tersurat dan tersemat,
Penggabungan wilayah barat dan timur,
Dalam bahasa Inggeris West dan East,
Yang apabila diringkaskan menjadi WE,
Ertinya kami atau kita,
Supaya berkongsi menjadi satu,
Satu perkataan milik semua.

Selamat Hari Malaysia.

2 comments: