Wednesday, May 12, 2010

2nd Year : Berakhir Sudah Kisah

Pada setiap permulaan pasti tiba saat pengakhiran,
Maka di penghujungnya kita akan membuat suatu penilaian,
Melihat setiap susun atur langkah perjalanan,
Supaya ia menjadi pedoman buat kita di masa hadapan.

Setelah selesai diri ini menjawab soalan peperiksaan,
Ada dua emosi yang menggugat dan menggamit perasaan,
Pertama adalah kelegaan kerana selesai sudah sesi menjawab soalan,
Kedua adalah kerisauan dek tidak mahu berlaku pengulangan(repeat),
Perjalanan musim peperiksaan juga agak memeritkan,
Dimulakan dengan konflik kekeluargaan dan berakhir dengan masalah pentadbiran,
Hai.....penyeksaan....

Musim keduaku penuh warna-warni,
Ada yang gelap gelita dan ada yang terang berseri,
Semuanya diadun dan semuanya diuli,
Untuk melukiskan segala onak dan duri.

Tahun ini diri ini belajar tentang perihal perasaan,
Erti cinta, sayang dan kasih rupanya berbeza,
Pengertiaannya,
Perasaannya,
Penanda arasnya,
Semuanya berperingkat dan penuh firasat,
Mudah tersurat sukar tersirat,
Pemisah antara kekasih dan sahabat.

Diri ini juga mengerti tentang sahabat,
Setia, sejati dan baik juga lain peranannya,
Ada yang penuh nasihat,
Ada yang penuh sindiran,
Ada yang penuh gurauan,
Ada juga yang hanya penuh tohmahan,
Semuanya mempunyai niat dan harapan,
Untuk demi kebaikan, terima kasih dihulur,
Untuk demi bahan hiburan, semoga terhibur.

Keluarga itu asas kebahagiaan,
Itu yang diri ini perasan,
Hakikat betapa keluarga memberi kekuatan,
Tatkala diri dihimpit seribu kelemahan,
Kasih sayang itu azimat,
Doa itu pemberi berkat,
Akhirnya ketenangan yang diri ini dapat,
Mudah-mudahan kekal sampai akhirat.

Begitulah,
Sebuah perjalanan yang tak sudah-sudah,
Sekadar berehat untuk bermuhasabah,
Supaya perjalanan seterusnya tiada musibah,
Selepas ini dah-dah la,
Yang lain berserah kepada ALLAH...

No comments:

Post a Comment