Wednesday, May 19, 2010

Selamat Hari Guru

Kiranya masih belum terlambat untuk diri ini berbicara,
Perihal hari buat seseorang yang mulia tugasnya,
Mendidik, membimbing dan mengajar,
Bukan sahaja pelajaran demi peperiksaan,
Tetapi juga ilmu untuk sebuah kehidupan.

.........................................................

Kali ini diri ini hendak membuat sedikit coretan mengenai pengalamanku di sekolah. Memang banyak kenanganku di sekolah sama ada bersama teman-teman dan juga guru-guru. Ingin aku berkongsi pengalaman sambutan hari guru ketika aku berada di Tingkatan 5. Padaku, inilah sambutan yang terbaik dan paling meriah pernah diberikan sepanjang 5 tahun aku di SDAR (Sekolah Dato' Abdul Razak).

Kisahnya begini. Suatu hari, ketika aku bersantai di dorm ku (D15), sahabatku, Mentol masuk ke dalam bilik. Katanya " E, ko jadi director sambutan hari guru taw, aku bagi name ko kat cikgu norliza". Sebaik sahaja aku mendengar kata-kata Mentol, terus aku tak jadi tidur siang hari itu. Manalah aku rajin hendak menjadi pengarah projek, tambah pula projek besar seperti ini. Namun, untuk menggembirakan hati sahabatku itu, aku iyakan sahaja.

Pada mulanya, aku hanya mahukan sambutan yang biasa. Seperti kelaziman tahun-tahun sebelum ini. Perasmian, sukaneka dan bersurai. Namun, setelah difikirkan semula, memandangkan ini tahun terakhir aku di kerajaan berdaulat ini, mengapa tidak aku buat satu perayaan atau sambutan yang besar-besaran. Tambahan pula, aku selaku pengrah sudah pasti mempunyai kuasa untuk membuat apa yang aku suka..hahaha..

Dipendekkan cerita, tibalah hari sambutan. Kali ini sambutannya agak berbeza. Ada dua sesi. Sesi siang dan sesi malam. Pada sesi siang, sambutan dimulakan dengan perarakan masuk para guru ke dalam dewan. Kemudian, setelah selesai sesi perasmian, maka bermulalah acara dan pertandingan yang dibuat. Pembukaan sambutan dimulakan dengan acara formasi yang dibuat oleh adik-adik Tingkatan 1 dan Tingkatan 2. Tiga bentuk formasi yang mereka lakukan iaitu bunga tulip, bentuk hati dan WE LOVE U. Jenuh juga untuk menguruskan budak-budak ini semua, maklumlah, F1 dan F2, ramai pula tu. Akhirnya, setelah seminggu latihan, alhamdulillah, pada hari sambutan, ia berjalan dengan lancar dan semua guru sangat terpegun dan teruja. Alhamdulillah.

Kemudian, acara yang diadakan adalah explorace, pertandingan teh tarik, batu seremban, sukaneka dan perlawanan bola sepak antara pelajar dan guru. Seterusnya, acara yang paling dinanti-nantikan iaitu jamuan pun tiba. Kali ini, kami menyajikan sesuatu yang sangat istimewa buat guru-guru. Gerai dibuka mengkut batch untuk menjamu para guru. Macam-macam juadah yang terhidang, Dari kuih-muih sampai la ke piza hut. Aku pun terliur juga tapi hendak buat macam mana, itu semua untuk para guru. Inilah antara kejutan buat para guru dan alhamdulillah, inilah juga yang paling dikenang oleh semua guru sehingga ke hari ini..(yela, makan kot..hahaha).

Selesai sesi siang, tiba pula sesi malam. Sesi malam dimulakan dengan solat maghrib dan bacaan yassin di masjid. Selesai solat isyak, semua meluru ke dewan besar untuk acara di dalam dewan. Acara yang diadakan adalah persembahan dari guru dan pelajar. Sempat juga aku mengadakan persembahan pada malam itu dengan mendendangkan sebuah lagu yang berjudul Biarlah Bulan Bicara. Betapa lagu tu memberi makna yang mendalam kepada diriku dan hanya beberapa orang guru sahaja yang memahami maksudnya. Alhamdulillah, setelah selesai semua persembahan, maka guru-guru pun beredar untuk jamuan malam. Namun, sebaik sahaja guru-guru keluar dari dewan, mereka terkesima apabila melihat Kad Hari Guru gergasi yang tegak di luar dewan. Tinnginya 16 kaki dan lebarnya 9 kaki. Rupa-rupanya, itu kad yang terbesar di Malaysia kerana rekod ketika itu hanya 12kaki tinggi. Aduss, melepas nak masuk tv..hahaha.

Demikianlah kisah sambutan hari guru yang gemilang pernah ku sertai sepanjang diriku bergelar pelajar sekolah. Lebih mengujakan, akulah pengarah untuk projek sambutan hari guru tersebut. Bukan ingin membangga diri, namun itulah hadiah terbesarku kepada semua guru yang pernah mengajarku dan itu juga sebagai penebus dosa yang telah ku lakukan sebelum ini (shisha punya cerita). Aku puas dan terima kasih juga buat rakan-rakan yang membantu iaitu Mentol, Merce, Izzat J, Jubei, Bean, Effa, Pilin, Nizar, Gori serta ramai lagi yang aku pun tak ingat. Sesungguhnya, inilah usaha bersama kita untuk menyanjung dan membalas jasa para guru.

Kini, sudah 4 tahun peristiwa itu berlalu dan selama tempoh itu jugalah aku sudah berada di dunia luar. Alhamdulillah, hasil bekalan ang diberikan oleh para guruku di sekolah, aku mampu untuk berada di dunia luar ini. Sesungguhnya, kehidupanku di sekolah memang tiada tandingan dan itulah tempat terbaik dan terindah yang pernah aku berada. Buat para guru, terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan. Moga kelak, diri ini akan kembali dengan segumpal kejayaan buat cikgu semua banggakan.

....................................................

Guru Oh Guru,
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa,
Jika hari ini seorang raja menaiki takhta,
Jika hari ini seorang presiden sebuah negara,
Jika hari ini seorang ulama yang mulia,
Jika hari ini seorang peguam menang bicara,
Sejarah dimulakan oleh seorang guru biasa,
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca.
Guruku,
Budi yang diapungkan di dulang ilmu,
Panggilan keramat cikgu kekal terpahat,
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Terima kasih cikgu.
Selamat Hari Guru.


1 comment:

  1. thank you azzairi...atas sambutan hari guru tu...now , budak2 form 1 time tu ( tukang susun kerusi) dah jadi form 5 dah...sekejap jer masa berlalu...cikgu2 sdar masih di sini...terus mendidik anak2 murid tercinta...

    ReplyDelete