Mata,
Banyak falsafah mengenainya,
Banyak juga kehebatan mengenainya.
Mata,
Setiap objek yang ada namanya,
Juga bukan calang-calang kehebatannya,
Matahari, sumber tenaga,
Matawang, sumber penjana,
Mata air, sumber bahagia,
Sekadar beberapa nama.
Bagaimana pula kuasa sepasang mata?
Kata orang aura sepasang mata kuat kesaktiannya,
Sepasang mata mampu menceritakan segalanya,
Sepasang mata mampu mempengaruhi seluruh minda,
Sepasang mata mampu mencairkan sekeping jiwa,
Mungkin benar juga kata pujangga,
Dari mata turun ke hati,
Boleh juga dari mata sakitnya hati,
Maka jagalah mata dan berhati-hati.
Mengapa sepasang mata banyak kesaktiannya?
Mungkin kerana mata yang menyaksikan segalanya,
Mata lah yang melihat keindahan,
Mata lah juga yang melihat keburukan,
Maka banyak juga rahsia yang mata simpan,
Sehingga mata sudah tidak mampu menahan,
Lalu segalanya diluahkan.
Hebatnya kuasa sepasang mata,
Ia tidak mampu menipu sesiapa,
Biarpun bibir menguntum senyuman,
Biarpun lidah mengukir alunan,
Namun hanya mata yang mampu menguji kesahihan.
Demikianlah kuasa sepasang mata,
Semoga ada yang mampu membacanya.
No comments:
Post a Comment