Monday, January 4, 2010

Tahun Baru.. Pengajaran dari bulan.



Selamat Tahun Baru..!!
Mungkin masih belum terlambat untuk diucapkan kepada kalian.
Sudah lama blog ini tidak diusik.
Banyak sangat ranjau yang terpaksa dihadapi sepanjang minggu ini sehingga seorang teman merungut bila blog ini hendak bertambah entrinya.
Maka, buat teman tersebut, jangan risau, kini blog ini akan sentiasa "bersuara".
Kali ini, entri akan dibuat dalam keadaan berbeza.
Tiada falsafah pujangga, tiada rima sekata, tiada juga perlambangan jiwa.
Sekadar catatan peribadi untuk dikongsi.

Tahun baru kali ini disambut dengan kelainan. Tiada kunjungan ke konsert-konsert, tiada bermesra dengan sahabat-handai, tiada juga lepak-lepak di pusat membeli-belah.
Kali ini, yang ada hanyalah keluarga tercinta. Biar pun kecil saiznya (hanya pada bilangan ahli ye..hahaha) namun besar kesan dan pengertiannya. Bersama mereka masalah dilupakan, bersama mereka hadir ketenangan dan kedamaian, bersama mereka sinar pelangi tiba memancarkan warnanya. Benar juga pesan seorang teman, selepas hujan yang lebat, akan muncul pelangi yang indah.

Itu kelainan dari orang-orang di sekeliling. Kini kelainan mengenai sambutannya pula. Kebiasaannya, pada malam tahun baru, yang paling popular adalah melihat percikan bunga api sambil mengira countdown. Kelainan yang diraih pada malam tahun baru kali ini pula, bukan bunga api yang dilihat, bukan juga konsert yang ditonton, tetapi gerhana yang ditunggu. Hasil jemputan seorang teman, keluarga yang kecil ini bergerak ke Pulau Pinang untuk melihat sebuah keindahan semesta yang jarang disaksikan. Pada mulanya, apabila teman tersebut menceritakan mengenai aktiviti mencerap bulan, agak kurang minat untuk mengetahui lebih. Kemudian, pelawaannya pula agak liat untuk dipenuhi (haha, maaf teman), tapi, mungkin ada sesuatu yang boleh dipelajari, mungkin juga ada sesuatu yang boleh ditafsiri. Kerana teman ini jarang ditemui dan jarang juga dihubungi. Ku lihat ada persamaan antaranya, gerhana bulan yang jarang terjadi, pelawaan teman yang jarang dihubungi.Apabila perkara yang jarang berlaku itu terjadi, maknanya adalah sesuatu yang mungkin berlaku. Siapa tahu, mungkin...

Kelainan yang lain adalah buat pertama kalinya, tahun baru disambut bersama tiga "organ" yang berbeza. Keluarga, Sepupu dan Sahabat. Gabungan yang agak lengkap kerana semua ciri yang dikehendaki ada dalam lingkungan ini. Tempat untuk meluahkan perasaan, tempat untuk bergembira, tempat untuk berkonsi cerita, tempat untuk memperoleh sokongan dan kekuatan, semuanya disediakan oleh tiga organ ini. Sengaja dinamakan organ, kerana badan tanpa organ, maka tak sempurnalah ia sepertimana tuan diri tanpa organ yang disebutkan ini. Aktiviti yang dilakukan hanya lah biasa, menonton wayang, bersiar-siar di seluruh pulau, mencuba pelbagai juadah dan menangkap gambar sebagai kenangan. Cukup biasa. Tetapi jiwa ini tenang dan berasa cukup lega. Benarlah kata orang, kadang-kadang tindakan yang biasa, kesannya luar biasa.

Begitulah tahun baru ku kali ini. Besar pengajaran yang tersirat mahupun yang tersurat dipelajari dan ditafsiri. Perjalananku ke 2010 penuh dengan ranjau dan penuh dengan keperitan. Penuh dugaan dan penuh keseksaan. Tapi ku berjaya tempuhinya jua berkat kekuatan dan ketabahan yang dianugerahkan-NYA. Sebab itu permulaan 2010 adalah gerhana bulan yang ku lihat kerana diriku diselubungi gerhana taktala ku melangkah ke tahun baru. Namun, biarpun gerhana berlaku, bulan masih di situ, tidak pula lari dan menyembunyikan diri, kerana bulan tahu, gerhana itu akan pergi jua meninggalkan bulan dan akhirnya, bulan kembali memancarkan cahaya yang diberikan oleh suria berkat kesetiaan dan ketabahannya menunggu dengan penuh sabar. Bulan juga tahu, gerhana tidak boleh dielak dan pasti jua berlaku kerana itulah ketetapan yang harus dilalui kerana jika tak dilalui, malapetaka akan menjelma. Semoga diriku juga begitu, terus sabar dan tabah, agar 2010 kembali menyinarkan hidupku setelah 2009 mencalit gerhana dalam hidupku. Semuanya telah ditetapkan dan perjalanan ku seterusnya hanya DIA yang tahu.

Terima kasih buat teman yang sudi menemani.
Pelawaanmu membuka mataku.
Ku pulang dengan penuh kelegaan dan keasyikan.
Ku pulang membawa mutiara dari Pulau Mutiara.

1 comment:

  1. Alhamdulillah akhirnya blog hang ber-update jugak!walau apa pun yang dah berlaku, sentiasa lah ingat yang Tuhan tak kan bagi sesuatu yang kau tak mampu tanggung dan Tuhan selalu menjanjkan yang terbaik untuk umatnya. kalaulah percaturan yang pertama gagal maksudnya dia nak bagi kau yang lebih baik untuk percaturan kedua atau seterusnya. orang selalu kata, langit kan tak selalunya cerah? :)

    perancangan Tuhan adalah yang sebaik-baiknya, kan? yang penting kau tau kan, kitorang akan ada untuk kau? sokongan, kekuatan dan bahu untuk menumpang sedih. kuatlah, dan tabahlah kerana semuanya takdir. belajar lah dari pengalaman. semoga apa yang berlaku akan membuat kau menjadi manusia yang lebih baik. InsyaAllah. :)

    selalu lah percaya yang Karma itu hukum Tuhan. biarlah 2009 membawa semua kepahitan dan semoga 2010 menjanjikan kemanisan.

    hee sorry panjang!

    " it definitely hurts to death to see someone you love, loves someone else. but it'll hurt more if you don't move on. "

    " each and everyone we know will hurt us, we just have to figure who is worth the pain, because the Right one will be worth a thousand cuts. "

    heheheeh :P

    ReplyDelete