Thursday, January 17, 2013

Listen! Listen! Listen!



Sudah tonton video ini? Saya mahu berkongsi ulasan sahabat saya, Saudara Izham Ismail (twitter : @izham17) yang juga merupakan YDP MPPUM 2012/2013 yang bertarikh 15/1/2012. Berikut adalah ulasan beliau :




Salam sejahtera buat anda semua, sahabat-sahabat Universiti Malaya yang saya sanjungi. Semoga perjalanan peperiksaan anda berjalan lancar dan doa saya agar senyuman juga terpancar sebaik anda melangkah keluar dari dewan peperiksaan.

Dengarlah (Listen).

Semalam, kita digemparkan oleh sebuah video yang disebarkan di Youtube, memaparkan perjalanan sebuah forum yang diadakan di Universiti Utara Malaysia. Forum tersebut bertajuk “Seiringkah Mahasiswa dan Politik” dan perkara yang mengejutkan adalah tindakan panel forum terbabit, Saudari Sharifah Zohrah Jabeen yang memberi respon kepada pertanyaan pelajar UUM, Bawani dengan cara yang agak keterlaluan.
Berikutan daripada video ini, pelbagai reaksi telah diberikan oleh semua pihak terutamanya para mahasiswa. Majoriti mahasiswa merasakan bahawa perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku apatah lagi tujuan forum tersebut diadakan adalah untuk menjadi medium interaksi dalam kalangan mahasiswa dan ahli panel berhubung isu-isu politik. Malah, selaku Presiden Suara Wanita 1 Malaysia, sebuah NGO, tindakan tersebut sememangnya tidak boleh diterima dan secara peribadi, saya masih tercari-cari rasional saudari Sharifah bertindak sedemikian.

Saya tidak mahu mengulas dengan lebih terperinci tentang intipati kenyataan Saudari Sharifah kerana saya percaya, semua sahabat mahasiswa sudahpun menonton video ini dan mendengar dengan jelas “hujah” yang diberikan oleh Saudari Sharifah. Perkara yang ingin saya tekankan adalah berkenaan soal integriti Saudari Sharifah yang saya kira tidak menggambarkan profesionalisme yang sepatutnya, sesuai dengan status beliau selaku seorang Presiden.

Saya percaya dan sentiasa akan percaya, semua orang mempunyai hak untuk menyatakan apa yang dirasai. Segala firasat, teori, pandangan mahupun kritikan sewajarnya diberikan ruang yang adil untuk disalur dan dikongsi. Apatah lagi, dengan adanya forum sebegini, soalan-soalan “panas” memang merupakan sesuatu yang pasti dan atas sebab itulah, ahli panel perlu bijak menangani.

Selaku mahasiswa, kami sentiasa mempunyai aspirasi yang tersendiri. Biarpun kami mungkin berbeza ideologi sesama sendiri, bernaung di bawah berlainan panji, waima menjadi ahli fikir neutralisasi,  ada perkara yang kami kongsi merentas seluruh universiti. Kami berkongsi bahawa hak mahasiswa itu perlu dibela, suara mahasiswa itu perlu dijaga, malah hati, maruah dan pendirian mahasiswa itu perlu diutama. Atas dasar inilah, pelbagai forum atau debat dilaksanakan di peringkat universiti agar medium ini diangkat sebagai saluran idea mahasiswa sekaligus menjunjung semangat demokrasi.

Namun, sayangnya hal ini seolah-olah tidak difahami oleh Saudari Sharifah. Tindakan yang dibawakan oleh Saudari Sharifah ini sememangnya bertentangan dengan apa yang diperjuangkan oleh mahasiswa. Malah, berani saya katakan juga, ia bertentangan dengan sikap keterbukaan kerajaan yang kini sudah banyak mengangkat martabat mahasiswa sehingga membenarkan mahasiswa untuk menjadi calon dalam PRU13 nanti.  Tatkala suara mahasiswa semakin didengari, tiba-tiba Saudari Sharifah berkelakuan sebegini, apa sudah jadi?

Secara jujur, saya berpendapat bahawa Saudari Bawani juga agak beremosi tatkala mengajukan soalan kepada ahli panel. Saya juga berpendapat, cara soalan itu diajukan turut mempunyai sedikit unsur provokasi. Namun, saya lebih berpendapat, selaku seorang yang bepengalaman dan profesional, bukan begitu cara Saudari Sharifah untuk memberikan reaksi kepada persoalan Saudari Bawani.

Soalan saya, adakah wajar seorang mahasiswa diperlakukan sebegitu di khalayak ramai? Jika jawapannya adalah “YA”, soalan saya, adakah begitu cara untuk seorang Presiden yang menggunakan nama 1 Malaysia dalam persatuannya menegur dan memperbetulkan sikap seorang mahasiswa? Jika jawapannya masih “YA”, soalan saya, kalau begitu, apa beza Saudari Sharifah dan Saudari Bawani selain O Level yang dimiliki?

Inilah yang akhirnya berbalik semula kepada nilai hormat yang perlu diterapkan kepada semua. Ironinya, Saudari Sharifah juga berbicara perihal “menghormati” ini namun beliau mungkin terlupa perihal “menghina”. Saya percaya, seandainya Saudari Sharifah mahu membuka mata mahasiswa, saudari perlu juga belajar untuk membuka mata saudari menghormati kami. Saya juga percaya, seandainya haiwan seperti kucing, jerung, lembu dan lain-lain pun boleh bercakap, nescaya mereka akan menyuruh Saudari Sharifah berhenti bertindak sebegitu rupa.

Namun begitu, tanpa menidakkan intelektual mahasiswa semasa, saya juga ingin berpesan kepada sahabat-sahabat mahasiswa, bahawa kita juga perlu bijak dalam menilai sesuatu isu. Jangan kerana kita dimomokkan oleh cetusan-cetusan yang beremosi, kita juga turut sama berkongsi bahang kemarahan tersebut baik di Facebook, Twitter mahupun Blog dengan kata-kata yang tidak sopan. Disinilah ujian sebenar untuk kita buktikan kepada semua, bahawa mahasiswa Malaysia sudah matang dan bukannya melulu tanpa merancang. Janganlah kita melampiaskan kemarahan kita secara membuta tuli kerana kelak, maruah kita juga yang diperjudi.  Usah kita berikan ruang untuk mereka di luar sana melakukan “serangan balas” atas sikap kita.

Akhirnya, kita semua perlu belajar dari insiden ini. Usah menuding jari ke arah Sharifah semata-mata, mungkin kita juga ada kekurangan yang menuntut kita bermuhasabah diri. Musuh sebenar kita bukanlah Sharifah Zohra, tetapi adalah rasa hormat dan rasional yang kian hilang dalam diri kita. Gelaran MAHASISWA itu begitu besar ertinya, sama besar amanahnya, jangan sesekali kita nodai tanggungjawab ini. Selaku YDP MPPUM, saya mewakili kepimpinan MPPUM 2012/2013 ingin menyatakan pendirian kami bahawa kami menentang segala bentuk tindakan yang merendahkan martabat mahasiswa dan saya menjemput Saudari Sharifah Zohra untuk mengadakan sesi dialog di Universiti Malaya untuk kita bersama-sama membincangkan  soal hala tuju negara. Moga kedua-dua pihak mendapat manfaat daripadanya.

Kepada Saudari Bawani – You’ll Never Walk Alone.   

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------
Saya bersetuju dengan segala apa yang diulas oleh sahabat saya berkenaan isu ini. Saya rasa ulasan ini akan menjadi sempurna sekiranya tiada unsur YNWA itu..hehehe =P

Apa-apa pun, apa pandangan anda? 

Layan video ini pula..




Sekali lagi, anda rasa?

Listen. 

p/s : yang berkenaan, dengarlah luahan, rintihan dan permintaan hati saya...

Friday, January 4, 2013

BOLA SEPAK : MANA?




Kekalahan skuad Harimau Malaya pada Piala AFF Suzuki yang lalu telah menimbulkan banyak reaksi dalam kalangan peminat tempatan. Ramai yang menghentam Dato’ K. Rajagopal kerana kegagalannya dalam memilih pemain terbaik dan terus-terusan menggunakan pemain kesayangannya. Malah, perkataan “eksperimen” telah digunakan secara kerap sebagai jawapan terhadap keputusan perlawanan persahabatan yang mengecewakan dan ayat “saya kenal pemain saya” telah menaikkan lagi jumlah makian terhadap beliau.

Pun begitu, kekalahan pasukan Harimau Malaya tidak boleh dipikul oleh Dato' K. Rajagopal seorang. Para pemain juga tidak pun menunjukkan mutu permainan yang diharapkan sesuai dengan status “bintang” yang diberikan kepada mereka. Nama-nama yang menyerlah pada edisi kali ini ialah Wan Zack Haikal, Mahali Jasuli dan Farizal Marlias sementara nama-nama yang menggegarkan pentas bolasepak kita pada dua tahun yang lalu iaitu Khairul Fahmi, Safee Sali dan Mat Yo ternyata mengecewakan. Malah, pemain yang diharapkan memainkan fungsi yang cekap iaitu Safiq Rahim dan Aidil Zafuan juga hilang punca.



Aneh! Setiap tahun mereka bermain menentang kelab-kelab terkemuka dunia ; Manchester City, Arsenal, Liverpool dan Chelsea. Aneh! Muka-muka ini jugalah yang dihantar berlatih dengan kelab di luar negara iaitu QPR, Cardiff dan Slovakia. Aneh! Ada juga yang beraksi di liga luar negara malah kerap juga menjaringkan gol di liga sana. Namun, ketika bermain dalam skuad Harimau Malaya, mereka seperti pertama kali bermain di pentas antarabangsa. Aneh!

Hantaran tidak kemas, corak permainan “aku sepak kuat-kuat, kau kejar bola tu”, barisan pertahanan “sepak je bola tu, ke laut pun takpe, asalkan tak bolos”, jaringan? Nilailah sendiri. Lantas bermain persoalan di minda penulis, “Apa ilmu yang mereka belajar ketika bermain menentang Tevez, Walcott, Aguero dan Chamberlain?”. “Apa mentaliti yang mereka tanam apabila menentang nama-nama besar terbabit?”.

Jadi, persoalan seterusnya, silapnya di mana?


Ironinya, prestasi serta pembangunan pemain-pemain daripada pasukan pelapis agak membanggakan. Skuad Harimau Muda A beraksi cemerlang di Liga S sekalipun kerap kekurangan pemain tonggak malah masih mampu menjuarai Kejohanan Neswpaper Cup di Vietnam. Skuad Harimau Muda B juga mempunyai potensi yang cerah, dan yang terbaru, Harimau Muda D (U-15), turut menampilkan aksi yang mengujakan dalam Kejohanan Piala Frenz yang masih berlangsung. Begitu juga skuad akademi cilik kita, Frenz United Malaysia yang turut mempunyai bakat-bakat muda yang boleh diketengahkan. Namun, perasan atau pun tidak, apabila pemain-pemain berbakat ini memasuki skuad senior, mereka juga “berjangkit” dengan sindrom pemain-pemain lama.

Gary Steven Robat sebagai contoh, aksinya ketika Kelayakan Olimpik cukup memukau malah ketika pertama kali diturunkan dalam skuad senior ketika menentang Arsenal, cukup mengujakan. Lantas, mata peminat terus tertumpu kepada beliau dan beliau turut diletakkan dalam kategori “wonderkid”. Namun, ketika di Piala AFF, beliau tidak pun mempamerkan karakter yang dipamerkan sebelum ini malah penurunan prestasi ini bukan sahaja dilihat ketika AFF sahaja, tetapi turut ketika pra AFF Suzuki. Wan Zack bernasib baik kerana inilah kemunculan pertama beliau. Dua tahun lagi? Mujur juga Nazmi Faiz bermain di Portugal.
Penulis beranggapan ini bukan salah sistem meskipun ramai yang menggesa FAM dirombak (ini pun penulis setuju), tetapi ia adalah kerana budaya yang sudah lama dijadikan amalan para pemain itu sendiri. Benar, mereka bermain menentang bintang-bintang dunia, tetapi mereka tidak belajar apa yang bintang-bintang itu lakukan dalam usaha mereka menjadi seorang bintang. Secara logik, apabila bermain menentang kelab-kelab terkemuka ini, takkanlah kita mengharapkan skill Safee Sali berubah seperti Tevez menggelecek Aidil Zafuan? Takkanlah kita mengharapkan Safiq Rahim mempunyai hantaran tajam seperti Yaya Toure atau Kunanlan selaju Walcott? Kita realistik, malah peminat juga realistik, dalam hanya 90 minit, tidak banyak yang boleh pemain-pemain kita belajar secara terus. Namun apa yang kita harapkan adalah pemain-pemain kita ini mencontohi apa yang bintang-bintang ini lakukan sehingga mereka boleh menjadi sehebat itu.

Kita mahukan Safee Sali melakukan latihan sepakan bola dari pelbagai sudut sepertimana dilakukan Tevez sebanyak 500-1000 kali sehari. Kita mahukan Safiq Rahim berlatih membuat hantaran dari titik A ke titik B sepertimana yang dilakukan oleh Yaya Toure selama 2 jam selepas setiap sesi latihan berakhir. Itu yang kita mahukan kerana kesannya? Adalah pengalaman yang mereka rasai apabila menentang pemain-pemain bintang ini. Kita semua maklum, ketika perlawanan persahabatan dengan skuad negara, pemain-pemain Manchester City tidak pun bermain 100% tetapi pemain kita tetap sukar untuk bersaing dengan mereka.

Begitu juga apabila pemain-pemain ini dihantar berlatih di luar negara. Safee Sali ke QPR, Safiq Rahim ke Cardiff. Belum kira pemain-pemain skuad Harimau Muda yang kini bermain untuk pasukan senior seperti KFCM, Mahali, Wan Zack, Fadhli Shas  yang mengikuti latihan di Slovakia malah, Wan Zack, Fadhli Shas dan Irfan Fazail telah bermain dengan kelab di sana selama 3 bulan. Sekali lagi, penulis juga realistik. Penulis tidaklah menjangkakan mereka ini menjadi Messi atau Ronaldo apabila pulang, tetapi yang penulis harapkan, mereka ini membawa pulang budaya latihan kelab-kelab di sana untuk dibudayakan dalam latihan skuad kebangsaan mahupun skuad negeri. Hakikatnya, budaya inilah yang membawa kepada keberlangsungan berterusan. Budaya ini bukan cara berlari di atas padang semata-mata, tetapi turut melibatkan permakanan, mentaliti, dan latihan di luar waktu latihan.

Jurulatih juga perlu dihantar ke luar negara. Pembantu-pembantu jurulatih juga perlu dihantar ke luar negara. Staff sokongan, jurulatih kecergasan, pakar pemakanan juga perlu dihantar ke luar negara. Lihat bagaimana sesuatu pasukan beroperasi, struktur latihan, kawalan kualiti kesihatan, pengurusan dan pentadbiran, kawalan pemakanan yang ditekankan, inilah budaya yang perlu juga dipelajari oleh barisan kejurulatihan supaya budaya yang dibawa oleh pemain-pemain dan budaya yang dibawa oleh pasukan kejurulatihan adalah selari. Sebab itu Akmal Rizal, Juzaili Sameon, Rudy Ramly, Fadzli Shaari akhirnya kecundang meskipun berlatih di luar negara kerana akhirnya, apabila pulang ke Malaysia, budaya kejurulatihan dan budaya rakan-rakan lain lebih dominan.



Kadang-kadang kelakar pun ada juga. Apabila penulis membaca akhbar, melihat pemain-pemain kita menikmati laksa selepas tamat latihan dan “kenduri durian” ketika kejohanan berlangsung. Penulis faham, ini budaya makanan Malaysia tetapi penulis juga merasakan pemain-pemain perlu faham yang mereka ini, kerjayanya adalam pemain bolasepak PROFESIONAL. Maknanya, ada pantang-larang yang perlu mereka jaga serta “keindahan dunia” yang perlu mereka korbankan dalam memastikan kecergasan mereka sentiasa optimum agar kerjaya mereka ini sentiasa memuaskan. Ibarat atlet bina badan seperti Sazali Samad, beliau terpaksa menjaga permakanan mereka dan melalui rutin pemakanan yang sangat-sangat rigid. Dato’ LCW, setiap hari beliau bangun pada pukul 4 A.M, dan berjogging selama 2 jam untuk mengekalkan stamina. Hasilnya, lihat di mana mereka berdua di pentas dunia. Inilah yang dikatakan sebagai BUDAYA!

Prospek bolasepak negara juga perlu kita “bela” dan perkasakan. Pemain-pemain seperti KFCM, Wan Zack, Gary, Mahali, Fadhli, Irfan dan Rozaimi jangan kita biarkan mereka beraksi di dalam negara. Mereka ini perlu keluar dari kepompong Liga Malaysia supaya mereka tidak “dijangkiti” oleh budaya bolasepak tempatan. Hantarlah berlatih di luar negara, trial demi trial, sekalipun di Divisyen Tiga. Tidak perlu sekuat Eropah, Jepun dan Korea Selatan pun sudah memadai. Pemain-pemain prospek bawah 20, atau semuda bawah 15 tahun, kita taja dan tempatkan mereka di akademi-akademi bolasepak luar negara. Biar mereka menjalani kehidupan seperti Beckham, Giggs, Messi yang hidup di akademi bolasepak sejak berumur 11 tahun. Usah kita memberi alasan kurang kewangan, kurang tajaan, kerana penulis percaya, kita sentiasa mempunyai dana, jika tiada sekalipun, kita sentiasa punya cara. Taikun-taikun yang memiliki kelab bolasepak seperti Tony Fernandes dan Vincent Tan, boleh sahaja mereka tempatkan sekurang-kurangnya 5 tempat setiap satu di akademi masing-masing, penaja Aston Villa, Genting Group, boleh juga menaja sekurang-kurangnya 3 pemain kita untuk memasuki akademi Aston Villa. Golongan monarki juga tidak terkecuali seperti TMJ yang pastinya mempunyai kenalan dan pengaruh yang besar sehingga boleh mendapatkan Guiza dan dijangka Pablo Aimar (untuk sesi 2014). Ini semua kelebihan-kelebihan yang kita ada yang perlu kita maksimumkan dalam membina asas atau akar yang benar-benar kukuh untuk masa hadapan bolasepak negara.

Penulis tidak hidup di zaman kegemilangan bolasepak Malaysia. Penulis tidak mempunyai pengalaman menyaksikan secara LIVE Malaysia menewaskan Jepun mahupun beraksi di Olimpik. Sebab itulah. penulis sangat-sangat berharap agar penulis mempunyai peluang untuk merasai apa yang peminat bolasepak Malaysia era 70an dan 80an rasa. Mungkin juga aksi Ramli di Manchester United boleh menjadi realiti.
Sekadar cetusan rasa penulis.

p/s : Ultras Harimau Malaya yang bukan Ultras Malaya. 


Tuesday, December 18, 2012

Tingkat..

Menongkah arus lautan kehidupan itu cabarannya besar,
Sebesar menempuh gelombang ombak,
Sebesar menahan asakan ribut,
Sebesar menepis deruan hujan.

Atas dasar itulah manusia punya ketahanan yang berbeza,
Ada yang kuat dan ampuh,
Ada yang lemah dan lembik,
Ada yang ikut keadaan semasa.

Begitu juga dengan sifat dalam jiwa, tingkat dalam rasa,
Setiap manusia punya tingkat rasa yang berbeza,
Minat tak setinggi suka,
Suka tak setinggi kasih,
Kasih tak setinggi sayang,
Sayang tak setinggi cinta,
Sekalipun dalam laras yang sama pun diragui tingkatnya,
Sayang aku belum tentu sama dengan sayang kamu,
Cinta aku tak setinggi cinta kamu,
Mahu marah? Kita tak mampu,
Kerana ini ciptaan Ilahi yang pasti punya sebab tersendiri.

Walauapapun,
Berbeda mana tingkat dalam rasa,
Semuanya berada di tempat yang sama - hati,
Andai hati itu dicipta untuk punya banyak ruang,
Maka isilah ia dengan sepenuh rasa yang memberi tenang.
Berbeza tingkat, itu persoalan kita seorang.


Sunday, December 2, 2012

Rintihan Hujan

Melihat langit cerah bisa membuatkan kita gembira,
Sekalipun dalam terik kita mengeluh dalam syukur,
Sifat langit cerah punya banyak faedah,
Hatta manusia sekalipun biasa melakukan segala ibadah dan riadah.

Atas dasar itu,
Kita lupa membawa payung,
Kita lupa cerahnya langit pun lambat laun akan kembali mendung,
Kita lupa terik mana mentari pun akan hilang dibalas titisan hujan,
Kita lupa susahnya untuk bergerak dalam basahan air,
Kita lupa tatkala dihentam peluru awan kita mendapat sakit seluruh badan.

Maka hujan ini pun merintih,
Apakah manusia lupa akan aku?
Apakah manusia tidak mahu berjaga-jaga dengan aku?
Apakah manusia mahu aku datang mengingatkan?
Apakah manusia hilang deria rasa dan panduan?

Hujan juga terus merintih,
Apakah manusia juga lupa yang aku adalah rahmat Tuhan?
Apakah manusia juga lupa tiada aku tiadalah kitaran kehidupan?
Apakah manusia juga lupa yang aku mungkin seorang kawan?

Maka hujan menutup rintih,
Belajarlah dari rintik air yang turun dan sedarlah dari lebat air yang meruntun.

Andai hati disulam resah,
Jiwa berbalah gundah,
Rintihlah sepertimana hujan memuhasabah.


Wednesday, November 28, 2012

MAKNA SEBUAH PERJALANAN




Hari Graduasi atau Convo!!!
Ya, aku tahu hal ini sudah basi,
Sudah 2 bulan aku bergraduasi,
Tapi nak buat macam mana,
Sekarang baru ada masa,
Maka sama-samalah membaca ya.

Dari kecil lagi dah mengimpikan saat untuk bergraduasi,
Maklumlah, adik-beradik tak ramai,
So nak jugak memenuhkan dinding rumah tu dengan gambar convo yang berlatarbelakangkan rak buku itu,
Dulu tekad bukan main,
Hendak belajar sampai dapat PHD,
Tapi bila dah melalui zaman Degree,
Rasanya cukuplah sampai di sini (hehe).


Apa- apa pun,
Aku mahu berkongsi rasa betapa signifikannya skrol itu untuk aku,
Pada orang itu hanya plastik biasa,
Tapi aku punya makna yang lebih besar.

Skrol,
Inilah lambang setiap doa yang Mama dan Ayah aminkan untukku,
Inilah lambang penat lelah Mama dan Ayah membesarkan aku,
Inilah lambang getirnya Mama dan Ayah mencari wang untuk aku belajar,
Inilah lambang bernilainya wang yang dihantar setiap kali aku pinta,
Inilah lambang usaha aku sejak dari tadika,
Inilah lambang jatuh bangun aku dalam pelajaran,
Inilah lambang segala pengorbanan yang aku lakukan,
Inilah lambang suka duka, rajin malas, jujur mengelat,
Inilah lambang kebanggaan keluarga.

Aku sedar, aku bukan daripada keluarga berada,
Mama dan Ayah pun bukan lulusan universiti mana-mana,
Andai ini takdir untuk aku ubah nasib keluarga,
Amanah ini akan aku pikul bersama.

Tiada apa yang lebih bermakna selain melihat wajah Ayah dan Mama yang tersenyum puas pada hari graduasiku,
Wajah ceria Alongku,
Mungkin dalam hati mereka “Tahniah EE, kami bangga dengan EE”,
Moga aku menjalankan tanggungjawabku sepertimana yang mereka harapka,
Jujurnya, tatkala aku menunggu giliran untuk naik ke pentas,
Bertakung juga air mataku.

Terima kasih buat setiap insan yang membina makna rasa dan jiwa,
Terima kasih buat setiap doa dan juga jasa,
Andai sebesar gunung sekalipun harta,
Jasa kalian tak ternilai harganya.
Teruskan berdoa agar saya menjadi insan berguna.



Tunjang, Teras, Nadi, berikan apa saja gelaran buat mereka..

Perjalanan yang sempurna. Class of 2008-2012

Professor, Guru, Ibu.. Prof Madya Dr Siti Zaharah



Ketika susah senang, inilah wajah-wajah yang setia

Doa saya buat dia

IJAZAH SARJANA MUDA UNDANG-UNDANG UNIVERSITI MALAYA (KEPUJIAN)


Kisah Debat Saya....

Copy paste dari Majalah VOX 20111/2012


Saya cintakan debat. Pengalaman debat saya di Universiti Malaya bermula di Minggu Haluan Siswa dimana ketika itu saya mewakili pasukan debat Kolej Pertama untuk pertandingan debat di sepanjang minggu yang penuh “kegirangan” itu. Bertitik tolak dengan itu, saya telah menyertai Kelab Orator & Puisi Universiti Malaya untuk meneruskan minat dalam dunia perdebatan ini. Ketika menyertai kelab tersebut, saya dimaklumkan bahawa Universiti Malaya merupakan satu nama besar dalam dunia perdebatan peringkat IPT. Lantas, ia menjadi satu dorongan yang cukup mengujakan buat saya untuk terus mendalami ilmu perdebatan dan seterusnya meneruskan legasi Universiti Malaya dalam arena perdebatan.

                Ramai beranggapan, berada di sebuah universiti yang disegani sememangnya bertuah kerana tidak perlu untuk bersusah payah dalam mencapai kejayaan iaitu menjuarai pertandingan debat di peringkat nasional. Sememangnya sangkaan itu meleset sama sekali. Perjalanan karier debat saya tidak seindah yang disangka atau yang saya sendiri impikan. Masih segar dalam ingatan saya betapa jurulatih saya ketika itu, Azizul Hakim, menempelak saya dek persembahan saya ketika sesi latihan, yang baru sebulan saya sertai, “kau memang tak layak berdebat untuk UM. UM tak pernah ada pendebat sebodoh kau” . Bayangkan, di hadapan para senior dan rakan-rakan yang lain, saya ditengking dengan kata-kata sebegitu rupa. Hati mana yang tidak terguris dengan kata-kata itu, malah pernah hati kecil ini mendengus untuk berhenti dan berputus-asa dalam karier debat ini. Namun, kerana cintakan debat, dipujuk juga hati ini untuk menelan segala kata-kata cacian yang dilemparkan kepada saya. Pujuk hati ini, andai ini adalah provokasi, maka akan dijadian sebagai motivasi. Tambah memeritkan, apabila saya diletakkan dalam pasukan UM Muda 2, atau boleh dikatakan sebagai pasukan keempat UM untuk pertandingan Debat DiRaja pada tahun pertama saya ketika sahabat seperjuangan saya (sehingga kini), Firdaus Ahmad diletakkan dalam pasukan Muda Utama. Melengkapkan kisah kecewa di awal pembabitan saya dalam debat, saya bersama rakan-rakan pasukan tewas seawal pusingan awal pertandingan.

                Memandang ke hadapan bagi melupakan episod duka saya, saya menjadikan pertandingan seterusnya sebagai pengubat kekecewaan lama. Debat Terbuka Astar – medan terbaik untuk saya pulihkan semangat saya. Bersama Firdaus dan Munirah, kami tidak diberikan sebarang harapan untuk melangkah jauh dalam pertandingan ini. Namun, atas semangat untuk membuktikan betapa kami juga layak untuk mewakili Universiti Malaya dan seterusnya menjadi pelapis kepada pasukan senior, kami berjaya melangkah ke Separuh Akhir. Lebih manis lagi, saya dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Keseluruhan dalam pertandingan tersebut. Masih jelas dalam ingatan apabila para senior memberi “standing ovation” usai saya menghabiskan pergulungan di Separuh Akhir. Walaupun kecewa kerana tidak dapat menjuarai pertandingan tersebut, boleh saya katakan di situlah titik tolak karier debat saya berkembang di Universiti Malaya apabila bermula dari situ, saya diberi kepercayaan oleh senior dan jurulatih untuk diserapkan ke dalam pasukan senior Universiti Malaya. Menyertai Azri Zahier dan Shen Yee Aun dalam penampilan pertama saya di peringkat senior, saya mungkin dianggap sebagai penumpang dalam pasukan tersebut. Namun, apa yang lebih mengejutkan adalah apabila saya diberikan mandat yang cukup besar – penggulung- satu tanggungjawab yang cukup besar di dalam pasukan. Cukup terharu dengan kepercayaan ini, saya cuba melakukan sedaya mungkin dan Alhamdulillah, kami mendapat Naib Johan dalam Pertandingan Debat Perpaduan tersebut.

                Melihat kepada pencapaian saya dalam penampilan pertama di peringkat senior, mungkin ramai beranggapan bahawa karier debat saya sentiasa cerah selepas itu. Namun, perjalanan debat saya tidak menentu dan turun naik. Selepas Debat Perpaduan tersebut, bermula dari tahun 2009 hingga 2011, saya telah menyertai sebanyak 20 pertandingan, 3 terkandas di pusingan awal, 7 tumpas di suku akhir, 8 tersekat di separuh akhir dan 2 tewas di akhir. Setelah mengalami kekalahan demi kekalahan, kekecewaan demi kekecewaan, namakan apa sahaja pertandingan, Royal, Integriti, Gender, Perpaduan, IKIM, Keamanan, Alam Sekitar, semuanya telah saya sertai dan tiada satu pun saya mengucup piala kemenangan. Boleh dikatakan, ketika itu merupakan zaman kejatuhan UM dan jurulatih pun sanggup meninggalkan kami kerana bagi beliau, tiada apa lagi yang boleh dilakukan kepada kami. Ayat yang beliau lontarkan kepada kami “I dah tak tahu nak buat apa dah dengan you all. Maybe I tak pandai melatih atau you all yang memang tak reti berdebat”. Setahun kami bergerak sendirian tanpa sebarang panduan. Saya dan Firdauslah yang bersusah payah mencari ahli pasukan, merekrut junior yang janjinya taat setia tapi akhirnya keluar juga dek mengejar aktivti kolej yang saya sendiri tidak tahu signifikannya, mencari tempat latihan kerana kelab asal diubahsuai, tiada elaun, tiada kenderaan, semuanya ditanggung sendiri. Sehinggakan sampai satu tahap, saya dan Firdaus menyatakan hasrat untuk bersara dari karier debat kerana merasakan kami sudah tidak layak lagi mewakili UM dan sudah tiba masanya tempat kami diisi oleh muka baru. Namun, kami tekad, sebelum kami bersara, kami akan menghadiahkan sekurang-kurangnya satu kejuaraan kepada Universiti Malaya sebagai menunaikan janji kami ketika kami menyertai pasukan debat UM pada awal-awal dahulu.

                Tuhan itu semangnya pengatur yang Maha Bijaksana. Mungkin Dia lihat begitu banyak kejatuhan yang saya dan rakan-rakan alami, akhirnya pada Januari 2012, Dia kurniakan kami hadiah yang telah lama kami nantikan. Bersama Firdaus dan Keng Fhai, Dia berikan kejuaraan pertama saya dan Firdaus dalam karier debat kami, Johan Debat 1 Malaysia. Lebih manis, kami menjuarai pertandingan tersebut tanpa tewas walau satu perlawanan sekalipun sehingga diberikan jolokan “Pasukan Kebal” dan “Juara Mnunggu” oleh rakan-rakan pendebat yang lain. Tambah mengujakan, saya dianugerahkan Pendebat Terbaik dalam perlawanan akhir dengan disaksikan ahli keluarag tercinta yang hadir membuat kejutan pada malam tersebut. Seminggu kemudian, Dia berikan sesuatu yang lebih besar kepada saya baik sebagi individu dan juga sebagai pasukan. Sesuatu yang menjadi impian buat semua insan yang pernah bergelar pendebat. Anugerah Kecemerlangan Individu dan Johan Debat Di Raja yang boleh dianalogikan sebagai “FIFA World Best Player” dan “World Cup” dalam sukan bolasepak. Apa lagi hadiah paling bermakna untuk saya dan rakan-rakan melainkan kemenangan sebesar ini. Sesungguhnya, inilah hadiah yang paling manis buat saya dan boleh dianggap sebagai hadiah yang sempurna buat karier debat saya yang penuh dengan kisah suka duka. Sekalipun cuba mencari penamat yang sempurna pada DAS2012 di bumi sendiri, namun rezeki tidak berpihak pada saya dan rakan-rakan apabila tumpas di akhir.

Terima kasih tidak terhingga buat mereka yang melihat jatuh bangun saya dan tidak pernah berhenti memberi semangat dan doa kepada saya dan rakan-rakan. Terima kasih kepada yang terus percaya kepada kemampuan saya, yang sanggup hadir memberi sokongan kepada saya, yang tidak jemu memberi dorongan kepada saya dan yang senantiasa membantu saya serta juga yang bermuka-muka terhadap saya. Kemenangan ini untuk kita semua.

                Demikianlah, kisah debat saya buat tatapan semua. Siapa sangka, dari seorang yang dikatakan tidak layak berdebat untuk UM, hampir dibuang kelab kerana prestasi yang tidak menentu, dikatakan juga sebagai tiada harapan, dibiarkan pula berjalan sendirian, saya kini menjadi Presiden kepada sebuah kelab yang banyak mengguris hati saya suatu ketika dahulu. Saya jadikan ia sebagai panduan terbaik saya sehingga saya mengecapi kejayaan yang saya ada ketika ini. Benar, tiada yang istimewa dalam perjalanan saya. Saya bermula dari bawah, tiada jalan pintas, dan kejayaan hadir ketika saya di penghujung karier. Syukur kerana saya diberi peluang untuk merasainya setelah kejatuhan yang saya alami. Moga ia menjadi pedoman dan pemangkin buat para pembaca. Mengenai kisah seorang insan biasa yang melalui pengalaman biasa dalam mencapai kejayaan luar biasa. 



My Batchmate - UMLawFac 2008-2012

Apakah LawFac di mata kami?
Apakah detik yang paling kami rindu?
Pesanan buat pensyarah, junior dan sahabat.
INI KISAH KAMI..